Makan nasi sejuk ada manfaat... Patutlah perut orang dulu 'kebal' jarang gastrik, angin
AMALAN orang dulu-dulu kadang kala dipandang remeh oleh generasi hari ini.
Apa sahaja petua atau amalan yang dianggap sudah lama sering dikaitkan dengan kolot, juga mitos.
Namun di sebalik kebiasaan itu, tersembunyi rahsia kesihatan yang hanya kini mula disokong oleh penemuan sains moden.

Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang individu dikenali sebagai Fazlee Nik membongkar rahsia ‘nasi sejuk’ yang didakwa menjadi antara sebab orang zaman dahulu jarang mengalami masalah sakit perut.
Menurutnya, petua makan nasi semalam bukan sekadar untuk elak pembaziran.
Sebaliknya, ia juga berkait rapat dengan konsep sains yang dinamakan 'Resistant Starch' atau kanji rintang.
MENARIK DIBACA: Martabak cecah bawang jeruk 'dipersoal', peminat tegar mesti tahu memang dah lama wujud
MENARIK DIBACA: Puasa di udara lebih mencabar! Juruterbang kongsi tip sahur supaya kekal bertenaga
"Apabila nasi dimasak dan dibiarkan sejuk, struktur kanji di dalamnya berubah menjadi 'Resistant Starch'.
"Kanji ini tidak dicerna sepenuhnya dalam perut, sebaliknya terus ke usus besar dan menjadi makanan kepada bakteria baik.
"Proses itu kemudiannya menghasilkan 'Butyrate', sejenis asid lemak rantaian pendek penting untuk kesihatan usus. 'Butyrate' membantu menguatkan dinding usus serta mengurangkan keradangan dalaman," kongsinya.

Fazlee turut membandingkan amalan tersebut dengan diet moden masa kini yang terlalu bergantung kepada makanan ultra-proses, rendah serat dan sering dimakan panas-panas.
Akibatnya, bakteria baik dalam usus ‘kebuluran’, lapisan usus menjadi sensitif dan masalah seperti gastrik serta angin mudah berlaku.
"Usus sebenarnya pusat sistem imun badan. Tidak hairanlah orang terdahulu jarang demam atau mengalami gangguan pencernaan kerana kesihatan usus mereka lebih terjaga melalui pemakanan tradisional.

"Sebagai langkah kembali kepada fitrah, cuba nasi lebih ketika sahur tidak terus dibuang," tulisnya.
Sebaliknya, simpan dan panaskan sekadar perlu untuk berbuka atau dijadikan nasi goreng dengan penggunaan minyak yang minimum.
Selain itu, amalan makan ulam mentah bersama sambal belacan serta memilih makanan sebenar berbanding makanan dalam paket juga antara cara mudah untuk menyokong kesihatan usus.