Takut kolesterol tinggi ketika musim raya? Boleh amalkan 5 jenis teh ini
MEMANG seronok apabila mengunjungi saudara-mara dan kenalan di musim perayaan ini.
Selain dapat bertemu dan bertanya khabar, kita juga tak boleh menolak daripada menikmati hidangan enak yang disediakan oleh tuan rumah.
Malah, setiap kali ziarah dari satu rumah ke satu rumah, pasti kita ‘tertewas’ dengan hidangan yang tersedia.
Daripada rendang daging, kuah lodeh hinggalah pelbagai lauk raya lain, semuanya cukup menyelerakan.
Namun tahukah kita, makanan bersantan yang dipanaskan berulang kali boleh berubah menjadi lemak tepu, sekali gus meningkatkan risiko kolesterol tinggi.
Untuk mengatasinya, amalan minum teh herba boleh menjadi alternatif mudah dan semula jadi.

1. Teh hijau
Teh hijau antara yang paling popular untuk kesihatan jantung.
Ia mengandungi katekin (antioksidan kuat) yang membantu menurunkan kolesterol jahat (LDL) dan kolesterol keseluruhan.
Polifenol dalam teh ini juga bantu kurangkan penyerapan lemak dalam usus serta melawan keradangan.

2. Teh hitam
Teh hitam kaya dengan polifenol dan flavonoid yang bantu kawal kolesterol dan gula dalam darah.
Ia juga membantu mengurangkan penyerapan lemak dan gula, sekali gus baik untuk kawalan berat badan.

3. Teh halia
Teh halia terkenal dengan rasa pedas hangat dan aroma kuat.
Kajian menunjukkan ia boleh turunkan kolesterol dan trigliserida (lemak dalam darah).
Sifat anti-radang pula bantu lindungi salur darah daripada kerosakan.

4. Teh Oolong
Teh tradisional dari China ini diproses secara separa fermentasi.
Mengandungi katekin dan polifenol yang bantu menurunkan kolesterol.
Ia juga boleh menghalang enzim pencernaan lemak, jadi kurang lemak diserap tubuh.

5. Teh hibiscus
Teh hibiscus berwarna merah terang dengan rasa masam manis.
Kaya dengan antosianin (antioksidan) yang bantu kurangkan kolesterol dan cegah penumpukan lemak dalam salur darah.
Ini sekali gus membantu kurangkan risiko penyakit jantung dan strok.
