Minum air sejuk ketika musim panas punca salur darah pecah... Fakta atau mitos?
KETIKA musim panas, kita sentiasa diingatkan untuk minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi dan menggantikan cecair yang hilang melalui peluh.
Minum banyak air juga penting untuk mengawal suhu badan supaya kekal normal bagi mencegah daripada berlakunya strok haba, keletihan dan menjaga fungsi tubuh agar tidak terganggu.
Setiap hari, kita digalakkan untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong tanpa menunggu rasa dahaga.
Bagaimanapun timbul pandangan yang menyatakan minum air sejuk atau ais ketika musim panas boleh mendatangkan risiko saluran darah pecah.
Situasi ini dikatakan berlaku apabila saluran darah mengecut secara drastik ketika suhu panas dan akhirnya pecah apabila terkena air sejuk yang diminum.

Seorang pempengaruh yang sering berkongsi tip kesihatan dan pemakanan menerusi video dalam TikTok miliknya, Dr1 Share (Dr Wan), menangkis dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai mengarut.
Menurutnya, air sejuk yang diminum ketika musim panas tidak akan menyebabkan saluran darah pecah kerana cecair yang masuk ke tubuh manusia secara automatik akan berubah mengikut suhu badan.
"Doktor mana yang pesan kalau minum ais ketika musim panas boleh sebabkan pembuluh darah pecah?
"Minum air memang pilihan kita sewaktu musim panas. Siapa kat sini agaknya minum air panas ketika cuaca panas?
MENARIK DIBACA: Lori KitKat dirompak, hampir setengah juta bar coklat lesap!
MENARIK DIBACA: [V] Kodi Rasheed trauma termakan daging busuk - “Bagi wagyu pun saya tak boleh telan”
"Korang ingat kalau minum air, adakah air itu akan terus masuk ke saluran darah? Tak!" tegasnya.
Katanya lagi, air yang diminum akan mengalir mengikut aturan di dalam tubuh sebelum masuk ke saluran darah.
"Air yang korang minum daripada mulut akan turun ke perut lalu bercampur dengan asid perut serta makanan yang dimakan. Air diminum pula sama ada sejuk atau panas, akan bertukar menjadi suhu sama di dalam perut iaitu suhu badan (sekitar 36 darjah Celsius).
"Kemudian air yang masuk ke perut akan mengalir melalui usus kecil. Di dalam usus kecil inilah air akan diserap masuk ke dalam darah.
"Jadi bila air sejuk yang korang minum itu masuk ke dalam usus kecil, adakah air tersebut masih sejuk? Jawapannya tidak kerana akan bertukar menjadi suhu badan," jelasnya.

Kesimpulannya, dakwaan minum air sejuk ketika musim panas merupakan punca salur darah pecah adalah tidak berasas selain tiada bukti kajian yang menyokong perkara tersebut.
"Tak ada maknanya air sejuk yang masuk ke dalam darah boleh sebabkan salur darah pecah. No! Itu semua mengarut!
"Apa yang penting, pastikan badan sentiasa 'hidrate' dan minum air dengan banyak dan kurangkan aktiviti di luar rumah ketika cuaca panas," ujarnya.