Rindu nak makan bubur asyura Johor? Boleh masak sendiri guna resipi mudah ini
SETIAP kali bulan Muharam menjelma, hidangan tradisi bubur asyura menjadi sajian yang sering dinantikan ramai.
Menariknya, resipi bubur asyura berbeza mengikut negeri di Malaysia.
Di Pantai Timur rasanya sedikit manis, berempah dan bertekstur pekat serta likat tetapi manisnya tidak dikategorikan sebagai pencuci mulut.
Selain itu, bubur asyura di Pantai Timur juga mempunyai protein seperti daging atau ayam.
Versi utara pula, bubur asyura boleh dikategorikan sebagai sajian pencuci mulut kerana rasanya seperti kuih yang manis dan berlemak.
Manakala versi Johor pula tampil dengan cita rasa berempah, berlemak serta sarat dengan pelbagai bahan menjadikannya lebih mengenyangkan.
Gabungan daging, kekacang, sayur-sayuran dan rempah ratus menjadikan bubur asyura Johor seakan-akan hidangan lengkap dalam satu periuk besar.
Jika ingin mencuba sendiri keenakan hidangan warisan ini di rumah, ikuti resipi mudah ini.

Bahan-bahan
- 2 cawan beras
- 500g daging lembu (direbus dan dihiris kecil)
- 200ml santan
- 1 cawan kacang kuda (direbus)
- 1/2 cawan kacang dhal
- 2 biji kentang (dipotong dadu)
- 1 batang lobak merah (dipotong dadu)
- 1 cawan sayur campur
- Air rebusan daging secukupnya
- Garam secukup rasa
- Lada hitam secukup rasa
MENARIK DIBACA: Enam jenis bunga ini boleh dimakan! Cef tunjuk cara buat manisan memikat selera
MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan
Bahan kisar
- 2 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci halia
Rempah
- 1 batang kayu manis
- 3 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 2 sudu besar rempah sup atau rempah beriani
- 1 paket sup bunjut
Langkah penyediaan
- Rebus daging sehingga empuk. Simpan air rebusan dan hiris daging kecil-kecil.
- Tumis bahan kisar bersama rempah empat sekawan hingga naik bau.
- Masukkan rempah sup dan kacau sehingga pecah minyak.
- Masukkan beras bersama air rebusan daging dan sup bunjut, kemudian masak sehingga beras mula kembang.
- Tambahkan daging, kacang kuda; kacang dhal; kentang; lobak merah dan sayur campur.
- Tuang santan sedikit demi sedikit sambil sentiasa mengacau supaya bubur tidak berkerak.
- Perasakan dengan garam dan lada hitam mengikut cita rasa.
- Masak sehingga bubur pekat dan semua bahan empuk sebelum dihidangkan bersama bawang goreng serta daun sup.