Bonsha jadi kegilaan... Tak salah mencuba, ada risiko kesihatan perlu diambil peduli
FENOMENA makanan viral di Malaysia tidak pernah putus.
Boleh dikatakan hampir setiap bulan, ada saja menu unik atau tak pernah dilihat menjadi bualan hangat di media sosial.
Fenomena ini bukan kerana lapar, tetapi lebih kepada perasaan enggan ketinggalan atau Fear of Missing Out (FOMO) menyebabkan mereka sanggup beratur panjang demi mencuba menu viral.
Malah, strategi pemasaran yang kreatif daripada peniaga, termasuk penjualan secara langsung atau siaran live di media sosial, turut menjadikan hidangan mereka laris terjual.

Terbaharu satu lagi snek manis tular dikenali sebagai bonsha, bonshi dan bonshu perhatian ramai sehingga menjadi rebutan pencinta manisan.
Bukan sahaja kerana rasa manis dan memikat, malah keunikan hidangan ini membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana rasanya.
Bonsha sebenarnya sudah lama viral di Indonesia dengan nama bebola susu atau ‘bolsu’, sebelum fenomena sama mula meledak di Malaysia.
Saiznya kecil, comel dan mudah dimakan, malah dikatakan seperti aiskrim yang ‘meletup’ dan cair di mulut apabila digigit.
MENARIK DIBACA: RM8 secawan! Muzium di Beijing jual kopi lipas, rasanya tak seteruk disangka
MENARIK DIBACA: Campuran kopi dan nasi, 'Bapmericano' mula jadi trend di Korea Selatan
Namun menurut ulasan pelanggan, tekstur bonsha lebih rangup seperti biskut dan mempunyai sedikit rasa masam-masam manis.
Dessert ini datang dalam pelbagai perisa menarik seperti matcha, coklat, dan vanila, dengan saiz yang berbeza mengikut jenis.
Gabungan rasa manis dan tekstur unik boleh membuatkan ramai tidak berhenti makan sehingga habis sebalang.
Konsep pembelian juga lebih mudah, termasuk pandu lalu, memudahkan pelanggan menikmati dessert kegemaran mereka dengan cepat dan praktikal.
Fenomena Bonsha membuktikan bahawa walaupun bersaiz kecil, satu hidangan yang kreatif dan unik mampu mencetuskan kegilaan besar dalam kalangan pencinta makanan.

Bagaimanapun apa menjadi kebimbangan ramai apabila makanan itu dikatakan mempunyai rasa manis yang melampau dan membahayakan kesihatan.
Ia sekali gus mendedahkan orang ramai terutama golongan muda kepada penyakit kronik seperti diabetes.
Disebabkan itu, penting bagi orang ramai lebih berhati-hati dalam memilih makanan atau minuman yang ingin dicuba kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.
Tidak salah mencuba tetapi biarlah berpada-pada kerana kesihatan lebih utama berbanding nafsu makan.