[V] Semua resipi Khairul Aming menjadi, tak menang tangan siapkan 'order' pelanggan
PERKONGSIAN resipi oleh pempengaruh Khairul Aming (KA) ternyata memberi manfaat kepada ramai individu termasuklah kepada golongan peniaga untuk meningkatkan sumber pendapatan.
Begitulah apa yang berlaku kepada wanita dikenali Hazwani Hamdan apabila dia mencuba nasib menggunakan resipi perkongsian Khairul untuk menjual puding karamel.
"Kepada Khairul Aming, saya buat jadi dan saya jual. Hahahahaha.. Minta cikgu halalkan resipi, anak murid nak cari duit poket," kongsinya di laman Threads.
Dalam perkongsiannya, Hazwani memuat naik [ video ] proses menghasilkan puding karamel menggunakan loyang besar.

Malah perkongsiannya juga mendapat perhatian warganet lain yang banyak bertanyakan tentang puding karamel yang dihasilkan untuk jualan.
Antaranya mengenai saiz loyang, yang mana dia memberitahu menggunakan saiz 30cm x 40cm dengan menetapkan suhu 180 dajah celcius dan tempoh memasak selama satu jam 15 minit.
Tidak sekadar sajian itu, dia turut menghasilkan menu lain seperti ayam pop, 'peach cobbler' dan 'cream caramel' yang kesemuanya dibuat menggunakan resipi yang dikongsi KA untuk dijual kepada pengikutnya.
Mengenai ayam pop, wanita itu memberitahu pelanggannya bahawa dia terpaksa menjual ayam pop pada harga RM15 setiap set kerana menggunakan banyak bahan.
"Niat memang nak jual murah saja, biarlah untung dapat RM20 ke RM30 saja pun.
MENARIK DIBACA: Khairul Aming 'buat hal' lagi menjelang Ramadan, idea 'rare' operasi Rembayung jadi bualan
MENARIK DIBACA: Dah sedia nak ‘battle’? 70,000 paket produk terbaharu Khairul Aming dijangka licin
"Tapi sebab saiz 'whole leg' di pasar pagi ini besar-besar, kalau jual RM12 satu set bukan kata tak ada untung, jatuh rugi pula mami," katanya.
Disebabkan tahun ini KA berkongsi lebih daripada satu resipi sehari, Hazwani juga tidak boleh berehat justeru dia merancang untuk menerima tempahan 'chicken peri' yang resipinya baru saja dikongsi pempengaruh itu.
"Esok mami ade buat chicken peri, macam biasa... yang berdekatan dengan Seberang Takir, Kuala Nerus boleh selit sekali.
"Buat tak banyak, capsicum mahal, sebiji pun dah RM3. Masuk bahan-bahan lain lagi," ujarnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji KA kerana perkongsiannya sangat memberi manfaat.
"Ni la bila orang cakap ilmu yang bermanfaat, pahala mengalir walau tak buat apa. Orang belajar dan gunakan untuk manfaat semua," kata seorang netizen.
Wanita itu turut dipuji kerana bijak mengambil peluang dan mahir memasak.
"Bijaknya! Apa yang KA buat, sis buat untuk jual. Siapa yang fomo (fear of missing out) tapi malas nak buat sendiri, boleh beli je dengan sis memang otak bisnes ni.
"Ini student cemerlang. Masa cikgu KA mengajar dia mesti fokus ambil notes.
"Ni terus grad dah ni," kata netizen lagi.