Wanita amal diet 'bigu' turun 20kg tapi berjalan macam penguin, ingatan merosot
DEMI turunkan berat badan, seorang wanita berusia 31 tahun mengalami masalah untuk berjalan secara normal dan daya ingatan merosot.
Masalah itu dihadapinya selepas mengamalkan diet ekstrem dengan hanya mengambil air selama 15 hari berturut-turut.
Memetik laporan South China Morning Post, wanita dari wilayah Henan, China itu memiliki berat badan 70 kilogram (kg) dengan ketinggian 160 sentimeter (cm).
Selepas melakukan amalan diet tersebut, dia berjaya turun berat sebanyak 20kg dalam tempoh hanya beberapa minggu.
Menurut pakar neurologi dari The First Affiliated Hospital of Zhengzhou University, Sun Guifang, wanita berkenaan didiagnosis mengalami masalah Wernicke's encephalopathy, iaitu gangguan otak serius dikaitkan dengan kekurangan vitamin penting, khususnya vitamin B1.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan pelbagai gejala seperti kekeliruan, masalah keseimbangan ketika berjalan, gangguan pergerakan mata serta kemerosotan daya ingatan.
Sun berkata, cara wanita itu berjalan kelihatan seperti penguin dan memberi amaran bahawa masalah tersebut berkemungkinan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.
Dia turut mengaitkan keadaan itu dengan amalan diet ekstrem yang dilakukan wanita tersebut dan menegaskan bahawa tubuh memerlukan pengambilan makanan secara berkala bagi mendapatkan nutrien penting.
Hasil pemeriksaan mendapati, wanita tersebut mengakui mengamalkan kaedah dikenali sebagai 'bigu', iaitu teknik berpuasa kuno yang berasal dari amalan Taoisme.

Bigu yang bermaksud 'mengelakkan bijirin' dipercayai telah diamalkan sebelum zaman Dinasti Qin iaitu sekitar 221 hingga 206 Sebelum Masihi.
Amalan tersebut berasaskan kepercayaan bahawa seseorang boleh mencapai tahap kerohanian tinggi dengan hanya bergantung kepada 'qi', iaitu tenaga kehidupan yang dipercayai beredar di alam semesta.
Walaupun kaedah penurunan berat badan moden menggalakkan pengambilan makanan kurang diproses, rendah gula dan lemak serta tinggi protein, masih terdapat individu yang menganggap 'bigu' sebagai kaedah berkesan untuk menurunkan berat badan dan melakukan detoks.
Di salah satu platform media sosial popular, tanda pagar #bigu dilaporkan meraih kira-kira 360 juta tontonan dan mencetuskan 2.4 juta perbincangan.
Malah, ada sesetengah pengguna turut berkongsi pengalaman berjaya menurunkan lebih 10kg selepas hanya mengambil air dan suplemen vitamin selama sebulan.
MENARIK DIBACA: Wanita kecewa kunafa masam tak lama lepas dibeli, rupanya ramai pelanggan lain dah 'terkena'!
MENARIK DIBACA: Wanita cuak rosakkan 'chopper' mak mentua, mujur ada 'hero' muncul jadi penyelamat
Bagaimanapun, amalan berkenaan turut dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan serius, termasuk kes yang berakhir dengan kematian.
Pada 2020, seorang lelaki berusia 26 tahun dari wilayah Heilongjiang, China, dilaporkan meninggal dunia selepas hanya minum air selama 52 hari.
Malah dia turut mengalami simptom menyerupai demensia dua hari sebelum kematiannya.
Tahun lalu pula, seorang wanita di wilayah Zhejiang kehilangan lima kilogram selepas hanya mengambil air dan sejenis 'pil tenaga' selama seminggu.
Bagaimanapun, amalan berpuasa tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada lapisan mukosa ususnya sehingga mengakibatkan jangkitan bakteria dalam saluran darah.

Susulan pelbagai kes yang berlaku, masyarakat mula menggesa agar kandungan yang mempromosikan amalan ekstrem seperti 'bigu' diharamkan atau dikawal.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan bigu bukan sebahagian daripada budaya tradisional, sebaliknya merupakan gaya hidup yang sangat tidak sihat.
Kes wanita berusia 31 tahun itu menjadi peringatan bahawa penurunan berat badan secara drastik melalui diet ekstrem boleh membawa risiko serius terhadap kesihatan.
Sebarang usaha menurunkan berat badan sebaiknya dilakukan secara berperingkat dan dengan memastikan tubuh mendapat nutrien yang mencukupi.