Ketahui bagaimana pemakanan anda pengaruhi masalah tidur berdengkur
KALAU tidur malam selalu berdengkur kuat sampai orang sebelah pun terganggu, jangan anggap ia perkara biasa.
Selain posisi dan gaya hidup, pemakanan harian juga menyumbang kepada masalah berdengkur dan gangguan pernafasan ketika tidur.
Antaranya ‘obstructive sleep apnea’ (OSA), iaitu keadaan apabila saluran pernafasan menjadi sempit atau tersumbat ketika tidur.
Kesannya, pernafasan boleh terhenti berulang kali dan kualiti tidur turut terganggu.
Menariknya, kajian terbaharu mendapati pengambilan makanan berasaskan tumbuhan yang sihat mungkin dikaitkan dengan risiko OSA yang lebih rendah.

1. Banyak makan sayur dan buah bantu kurangkan risiko
Menurut kajian, individu yang banyak mengambil sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang mempunyai risiko OSA 19 peratus lebih rendah.
Antara contoh makanan yang boleh diamalkan ialah bayam, brokoli, lobak merah, epal, pisang, oat, beras perang, badam dan kacang kuda.
Bagaimanapun, bukan semua makanan berasaskan tumbuhan bagus. Apa yang penting ialah kualiti makanan yang diambil.
2. Berjaga-jaga makanan tinggi garam
Pemakanan yang banyak mengandungi karbohidrat terproses, minuman manis serta makanan tinggi gula dan garam pula dikaitkan dengan risiko OSA 22 peratus lebih tinggi.
Contohnya roti putih, mi segera, minuman berkarbonat, teh tarik manis, kek, biskut dan makanan ringan.
Makanan sebegini boleh mencetuskan keradangan dan mengganggu keseimbangan cecair dalam badan, sekali gus menyebabkan saluran pernafasan lebih mudah sempit ketika tidur.
MENARIK DIBACA: Ramai bekas pesakit kenang keenakan makanan HSB, bersorak dengar bunyi troli - "Jiran tak makan, saya minta"
MENARIK DIBACA: Sapu kunyit di muka, tidur bertemankan bawang petua sembuhkan selesema
3. Pilih makanan kaya antioksidan
Sayur, buah, bijirin penuh dan kekacang kaya dengan nutrien serta antioksidan yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif dalam badan.
Antara pilihan mudah ialah beri, oren, betik, tomato, bayam, brokoli, kekacang dan biji bunga matahari.
Pemakanan sihat juga membantu mengekalkan berat badan kerana obesiti merupakan salah satu faktor risiko ‘sleep apnea’.

4. Utamakan makanan berkhasiat
Makanan yang mengandungi omega-3, magnesium dan protein tanpa lemak juga boleh dimasukkan dalam menu harian.
Contohnya ikan salmon, ikan sardin, telur, dada ayam, tauhu, bayam, avokado, badam dan biji labu.
Pastikan badan cukup air dan cuba kekal aktif bagi membantu menjaga berat badan serta kesihatan secara keseluruhan.
5. Jaga waktu makan
Elakkan makan dalam kuantiti terlalu banyak sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur, terutama makanan tinggi lemak atau gula.
Jika dengkuran berlaku terlalu kerap atau disertai pernafasan terhenti ketika tidur, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor.