Wanita 'bangga' jimat masa rebus telur ketika masak nasi, tak sedar bahaya menanti
MENYEDIAKAN hidangan buat keluarga perlukan sedikit kreativiti, terutama bagi mereka yang mahu menjimatkan masa di dapur.
Bagaimanapun cara seorang wanita memasak telur rebus dengan cara meletakkannya di dalam periuk nasi mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan berkata suaminya sendiri pelik melihat cara yang digunakan.
“Laki aku pelik bila tengok cara aku rebus telur, bubuh dalam periuk nasi,” ujarnya.

Menurutnya, cara itu dilakukan bagi menjimatkan masa kerana telur boleh dimasak serentak ketika nasi sedang ditanak.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi netizen termasuklah yang mempersoalkan soal kebersihan apabila telur dimasak bersama nasi dalam periuk sama.
Mereka berpendapat, kulit telur mungkin mempunyai kotoran serta bakteria dan ia perlu diberi perhatian.
MENARIK DIBACA: Cara mudah kupas kulit telur rebus supaya tak menggerutu, sejuk hati tengok hasil licin lepas kopek
MENARIK DIBACA: Teknik rebus telur guna 50ml air menakjubkan! Lepas 12 minit elok kejadian, senang kupas
“Apa yang saya belajar, dari sudut keselamatan makanan, kulit telur boleh ada kotoran dan bakteria (Salmonella).
“Haba waktu memasak boleh matikan bakteria itu kalau nasi dan telur betul-betul masak.
“Tapi cara yang lebih bersih dan selamat tetap rebus telur dalam bekas berasingan.
“Kalau telur retak, jangan guna. Tak perlu juga cuci kulit telur dengan sabun pencuci sebab sabun bukan untuk makanan,” antara komen netizen.

Sekadar info, Salmonella ialah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia sekiranya seseorang mengambil makanan atau minuman yang tercemar.
Jangkitan salmonellosis boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, demam, sakit perut, loya dan muntah.
Telur mentah atau kurang masak juga antara makanan yang boleh membawa risiko pencemaran Salmonella.
Sebab itu, telur perlu dimasak dengan sempurna bagi mengurangkan risiko jangkitan.