Kabur mungkin tanda gula tinggi! Ini makanan bantu rawat masalah mata, penyakit lain
SELAIN kulit, keadaan mata juga boleh dijadikan petanda mengenai tahap kesihatan atau penyakit yang mungkin dihidapi seseorang.
Bagaimanapun perubahan pada mata sering dianggap perkara biasa walaupun sebenarnya ia boleh menjadi antara petunjuk tubuh sedang mengalami masalah kesihatan tertentu.
Mata yang kelihatan kekuningan, merah, kering atau mengalami perubahan lain mungkin bukan sekadar berpunca daripada keletihan atau kurang tidur.

Dalam sesetengah keadaan, perubahan tersebut boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan yang memerlukan perhatian.
Selain mendapatkan pemeriksaan kesihatan tubuh secara keseluruhan, pengambilan makanan kaya nutrien tertentu juga boleh membantu menyokong kesihatan mata.
Berikut merupakan beberapa makanan yang boleh anda ambil jika berlaku perubahan pada mata.

1. Mata kekuningan
Mata kekuningan sering dikaitkan dengan masalah hati yang disebabkan oleh tekanan akibat pengumpulan bahan dikenali bilirubin di dalam badan.
Seseorang yang mengalami masalah ini digalakkan untuk makan ubi bit merah (beetroot) sebagai sebahagian daripada diet pemulihan untuk masalah mata kekuningan.
Bagaimanapun, anda perlu faham bahawa beetroot bukanlah ubat atau penawar untuk menyembuhkan penyakit tersebut secara langsung, sebaliknya ia bertindak sebagai sokongan nutrisi untuk membantu hati pulih dengan lebih cepat.

2. Mata kemerahan
Salah satu punca kepada masalah mata kemerahan adalah disebabkan oleh keletihan dan kurang tidur.
Salur darah halus pada bahagian putih mata boleh mengembang (vasodilation) dan membawa lebih banyak darah ke kawasan tersebut.
Salah satu cara untuk mengelak keadaan tersebut adalah dengan minum susu suam sebelum tidur supaya anda mendapat rehat yang mencukupi.

3. Mata bergetar (eye twitching)
'Eye twitching' atau dalam bahasa perubatan dipanggil 'myokymia' adalah keadaan di mana otot kelopak mata mengejang atau bergetar secara berulang kali tanpa dapat dikawal.
Banyak punca dikaitkan dengan masalah tersebut antaranya stres dan tekanan emosi, keletihan, pengambilan kafein berlebihan dan kekurangan magnesium.
Sumber makanan terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengamalkan pengambilan biji labu yang kaya dengan pelbagai nutrisi penting untuk sistem saraf dan otot.
MENARIK DIBACA: Cara simpan tauhu supaya tahan lama... Cuma guna air panas, lepas sebulan masih elok
MENARIK DIBACA: Wanita amal diet 'bigu' turun 20kg tapi berjalan macam penguin, ingatan merosot

4. Mata kabur
Masalah mata kabur boleh disebabkan oleh beberapa faktor antaranya gula dalam darah tinggi.
Antara sumber makanan untuk membantu mengurangkan masalah ini menjadi lebih teruk adalah dengan mengamalkan pengambilan sayur peria.
Peria kaya dengan vitamin A dan beta-karotena yang sangat penting untuk menjaga kesihatan tisu retina dan mencegah kemerosotan fungsi mata yang lebih teruk.

5. Lingkaran gelap bawah mata (dark circle)
Antara punca terjadinya masalah lingkaran gelap bawah mata (dark circle) adalah disebabkan oleh keletihan melampau (fatigue) walaupun sudah mendapatkan rehat yang cukup.
Salah satu cara mengatasi masalah tersebut adalah dengan mengamalkan pengambilan buah Melaka (amla).
Buah Melaka membantu mengurangkan lingkaran gelap bawah mata (dark circle) kerana ia padat dengan vitamin C dan antioksidan tinggi yang berfungsi mencerahkan kulit secara semula jadi.

6. Mata kering
Masalah mata kering boleh disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kekurangan vitamin A.
Pengambilan lobak merah menjadi sumber terbaik untuk mengatasi masalah tersebut.
Lobak merah kaya dengan beta-karotena, iaitu sejenis sebatian yang akan ditukarkan oleh badan kepada vitamin A.
Vitamin A amat penting untuk mengekalkan kelembapan permukaan mata (kornea) dengan menyokong penghasilan lapisan mukus dan air mata.