Bawang putih tinggi khasiat, tapi seksa makan mentah! Ini tip kurang rasa 'menyengat'
SELAIN menjadi bahan penting dalam masakan, bawang putih juga sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan termasuk membantu mengawal paras kolesterol.
Justeru, tidak hairanlah ada yang mengamalkan pengambilan bawang putih mentah secara rutin.
Bagaimanapun, nak makan bawang putih mentah setiap hari bukanlah mudah seperti mana yang disangka kerana rasa dan baunya agak 'kuat'.

Seorang pengguna Threads yang cuba mengamalkan makan bawang putih turut mengakui bahan ini mempunyai rasa yang kuat, pedas dan ‘menyengat’ menyebabkan dirinya tak mampu makan begitu sahaja.
"“Betul ke makan bawang putih mentah setiap hari boleh menurunkan kadar kolesterol dalam badan?
“Sejak aku amalkan setiap hari, mulutku bau bawang putih. Dah la seksa nak telan sebab pedas,” ujarnya.
MENARIK DIBACA: Ramai kongsi perubahan lepas makan bawang putih mentah... Bantu turunkan kolesterol, rasa lebih sihat
MENARIK DIBACA: Tip simpan beras guna bawang putih, tahan 4 tahun... Boleh letak dalam bekas, beg vakum
Hantaran tersebut kemudian mendapat perhatian netizen dengan ramai yang berkongsi cara mereka mengamalkan makan bawang putih.
Antara cara yang dicadangkan seorang netizen adalah dengan menyimpan beberapa ulas bawang putih di dalam peti sejuk beku terlebih dahulu.
Katanya, bawang putih boleh dikeluarkan keesokan harinya, dikupas dan dibiarkan sehingga cair sebelum dimakan.
"Esok awak nak makan, ambil dari freezer, kopek kulit, letak tepi sekejap biar hilang bekunya. Boleh makan kalau dah cair, baru tak pedas lagi," katanya.

Ada juga yang berkongsi cara lain iaitu dengan menghancurkan atau potong kecil bawang putih, kemudian biarkan seketika sebelum dimakan.
"Kalau awak tak hancurkan dulu nanti 'dia' tak sempat keluarkan sebatian allicin tu. Allicin ni yang bagus," komen netizen lain pula.
Untuk info, allicin merupakan antara sebatian yang terbentuk apabila bawang putih dihancurkan atau dipotong.
Selain itu, ada juga netizen yang mencadangkan supaya bawang putih direndam bersama madu ataupun dijerukkan bagi mengurangkan rasa pedasnya.