Tip arwah nenek! Nak beli kuali berkualiti cuma perlu periksa satu label, tahan 3 generasi
JIKA ingin membeli kuali baharu, ramai akan memilih dengan melihat harga, jenama serta reka bentuk yang kelihatan menarik dan cantik.
Bagaimanapun bagi individu dikenali sebagai Luckyadzhar, ibunya mempunyai cara tersendiri untuk memilih kuali.
Menurut perkongsian lelaki itu, ibunya hanya akan melihat satu perkara penting di bahagian bawah kuali sebelum membuat keputusan membeli.
Kongsinya, jika tiada tulisan atau label '18/10 stainless steel', kuali tersebut akan terus diletakkan semula di rak.
Tambah lelaki berkenaan lagi, tip itu diwarisi daripada arwah neneknya menggunakan kaedah tersebut sebelum membeli kuali.
"Dulu aku ingat semua kuali stainless steel sama saja. Asalkan nampak berat, berkilat dan premium terus rasa confirm tahan.
"Rupanya tak semudah itu. Bahagian bawah kuali tu yang selalu bocorkan kualiti sebenar," kongsinya.

Menurutnya, tulisan 18/10 merujuk kepada campuran stainless steel yang digunakan dalam pembuatan kuali tersebut.
Dalam bahasa mudah, jenis ini biasanya lebih tahan dan tidak mudah berkarat jika dijaga dengan baik.
Bukan sekadar nampak cantik ketika baru dibeli, tetapi kualiti material juga memainkan peranan supaya kuali kekal sempurna walaupun sudah digunakan bertahun-tahun.
"Petua ni bukan mak aku dapat dari TikTok. Arwah nenek aku yang ajar dia.
"Kuali tinggalan nenek masih digunakan walaupun dah berpuluh tahun. Sekarang aku pula yang guna dekat rumah mak,” katanya.
Baginya, pengalaman itu membuatkan dia memahami kenapa orang zaman dahulu begitu teliti memilih barang dapur.
Sebuah kuali yang berkualiti boleh digunakan oleh beberapa generasi bermula daripada nenek dan diwarisi oleh cucu.
MENARIK DIBACA: [V] Hantar makanan sambil menari 'all out', pelayan restoran buat pelanggan terlopong!
MENARIK DIBACA: Wanita kurang selesa lihat bayi diberi kurma bekas mulut pentahnik... Tak tolak sunah, cuma fikir kebersihan
Empat perkara perlu diperiksa sebelum beli kuali 'stainless steel'
1. Pastikan ada tanda 18/10 stainless steel.
2. Periksa bahagian bawah kuali dan pastikan ia terasa kukuh.
3. Pastikan pemegang tidak longgar.
4. Periksa penutup supaya boleh menutup dengan elok.
Menurutnya, pengguna tidak sepatutnya hanya tertarik dengan reka bentuk luaran dan tidak mudah percaya mahupun terperdaya bahawa semua stainless steel adalah sama.
Walaupun rupa luaran mungkin kelihatan hampir sama, hakikatnya material dan tahap ketahanan boleh berbeza mengikut spesifikasi.
Sebab itu penting untuk membaca maklumat pada produk, bukan sekadar melihat rupa atau jenama.
Selain itu, dia turut berkongsi tip ibunya yang sering melihat dan memilih jenama dari Jerman atau Turkiye ketika memilih barangan dapur.
Arwah neneknya juga pernah menggunakan jenama Fissler yang terkenal dengan produk tahan lama.
Bagaimanapun katanya, tidak semua orang perlu membeli kuali sehingga mencecah harga ribuan ringgit.
Apa yang lebih penting ialah memahami ciri-ciri kuali yang berkualiti dan memilih mengikut kemampuan.