Beli mahal, sayang jika buang kulit udang! Boleh buat serbuk perasa, banyak manfaat lain
KETIKA proses mengopek kulit udang, ramai dalam kalangan kita akan terus membuang kulit dan kepalanya sebelum dimasak menjadi hidangan menyelerakan.
Bagaimanapun, ada yang berasa tindakan itu sebagai pembaziran apabila memikirkan harga udang yang semakin meningkat.
Lebih-lebih lagi apabila melihat timbunan kulit dan kepala udang, rasa sayang pula nak membuangnya.
Seorang wanita di Threads turut berfikir perkara sama lantas memuat naik gambar kulit udang sambil meluahkan rasa sedih apabila hampir setengah kilogram daripadanya udang yang dibeli akhirnya terpaksa dibuang.
“Daripada 2 kilogram udang, hampir setengah kilogram terpaksa dibuang. Sayang sangat sebab harganya mahal," katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang bukan sahaja bersetuju, malah tampil berkongsi pelbagai cara memanfaatkan kulit udang agar tidak berlaku pembaziran.

Di ruangan komen pelbagai cadangan diberikan netizen yang mengakui mereka tidak akan membuang kulit udang begitu sahaja.
Menurut mereka, kulit udang masih boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan air rebusan atau stok serbuk yang memberikan rasa lebih manis dan beraroma dalam masakan.
"Segala yang berkaitan dengan udang saya akan gunakan sebaik mungkin. Kulit ini boleh dijadikan pati atau stok udang, sesuai untuk sup rumpai laut atau sup miso.
“Cuci dan terus rebus. Tapis airnya untuk dijadikan stok udang, kemudian bahagikan dalam plastik dan simpan dalam freezer. Ini lebih praktikal kalau tak nak sangai," kongsi beberapa warganet.
Tak kurang juga yang berkongsi cara menghasilkan serbuk perasa semula jadi menggunakan kulit udang.
MENARIK DIBACA: Ada logo halal, wanita masih risau nak makan ayam 'frozen' dari China... Suami suruh jamu kucing
MENARIK DIBACA: Tip arwah nenek! Nak beli kuali berkualiti cuma perlu periksa satu label, tahan 3 generasi
"Saya cuci dahulu, kemudian keringkan menggunakan air fryer. Selepas itu kisar hingga menjadi serbuk. Alhamdulillah, sejak itu saya dah tak beli serbuk perasa.
"Cuci kemudian sangai hingga betul-betul kering sebelum dikisar. Jadilah serbuk udang yang boleh digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan.
“Biasanya saya kumpulkan dalam bekas dan simpan dalam freezer. Bila dah banyak, saya buat tom yam," komen beberapa netizen.
Malah, ada juga yang mencadangkan kulit udang diproses menjadi belacan selain digunakan sebagai bahan utama untuk menyediakan kuah tekwan (sup ikan), hidangan tradisional yang terkenal dengan rasa manis makanan laut.
“Jangan dibuang, boleh buat kuah tekwan.
"Boleh dibuat belacan, sedap," kongsi warganet lagi.