Minum air campuran madu dan garam, tidur jadi lebih nyenyak
TIDUR terganggu boleh memberi kesan besar terhadap rutin dan aktiviti harian seseorang.
Tanpa tidur berkualiti menyebabkan tubuh berasa letih, sukar memberi tumpuan, mudah tertekan dan menurunkan tahap produktiviti.
Ramai juga mencari alternatif bagi memudahkan tidur pada waktu malam seperti pengambilan makanan tambahan dengan magnesium atau minum susu panas.
Antara cara lain boleh dilakukan adalah mencampurkan madu dengan secubit garam dalam air suam yang membantu tubuh menjadi tenang.

Ia sekali gus menyokong kualiti tidur seseorang secara semula jadi dan membuatkan badan lebih segar apabila bangun pagi.
Madu mengandungi gula semula jadi seperti glukosa dan fruktosa membantu menstabilkan paras gula dalam darah pada waktu malam.
Paras gula darah stabil penting kerana turun naik mendadak mampu mengganggu tidur menyebabkan seseorang terjaga di tengah malam.
MENARIK DIBACA: 28 tahun minum susu lembu mentah, warga emas dijangkiti tibi
MENARIK DIBACA: Redakan ‘hot flush’ dan kemurungan, banyak khasiat daun kelor untuk wanita menopause
Keadaan tidur terganggu boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan lain jika dibiarkan berlanjutan.
Selain itu, madu juga dikaitkan dengan penghasilan hormon melatonin, iaitu hormon mengawal kitaran tidur.
Apabila melatonin berada pada tahap seimbang, tubuh lebih mudah memasuki fasa tidur dalam dan berkualiti.

Secubit garam pula berperanan dalam menyokong keseimbangan elektrolit dalam badan.
Garam semula jadi mengandungi mineral seperti natrium membantu sistem saraf berfungsi dengan baik, sekali gus menyokong proses relaksasi sebelum tidur.
Air suam bertindak sebagai medium membantu tubuh menjadi lebih tenang selain melonggarkan otot, melancarkan peredaran darah malah memberi isyarat kepada badan bahawa sudah tiba masa untuk berehat.

Gabungan ketiga-tiga bahan ini mampu mengurangkan tekanan ringan serta rasa gelisah sebelum tidur.
Apabila tubuh dan minda lebih tenang, proses untuk melelapkan mata menjadi lebih mudah dan semula jadi.
Amalan ini juga boleh dijadikan sebagai rutin malam dan jika dilakukan secara konsisten ia membantu otak mengenali isyarat waktu tidur, sekali gus meningkatkan kualiti rehat dari hari ke hari.
Walau bagaimanapun, penggunaan bahan ini perlulah secara sederhana. Terlalu banyak madu atau garam tidak digalakkan, terutamanya bagi individu mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti diabetes atau tekanan darah tinggi.