Ibu hamil cuba puasa tapi kecundang sebab 'hipo', apa perlu dimakan sejurus berbuka?
BERPUASA ketika hamil sering menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan wanita, lebih-lebih lagi apabila memikirkan soal kesihatan bayi dalam kandungan.
Seorang wanita meraih perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman pahitnya berpuasa ketika sedang hamil lima bulan.
Menurutnya, bayi dalam kandungan meninggal dunia tanpa disedari dan hanya diketahui seminggu selepas Aidilfitri ketika pemeriksaan rutin.
"Tahun lepas baby saya meninggal dalam perut. Dah dua minggu meninggal dan seminggu lepas raya baru saya tahu masa check-up. Baby dah lima bulan.

"Baby saya mengecut sedangkan minggu pertama puasa sihat dan aktif masa check-up," kongsinya.
Perkongsian tersebut kemudian mendapat respons daripada pakar pemakanan, Jazeera Julaili, yang menjelaskan bahawa keadaan itu terjadi bukan semata-mata kerana kurangnya nutrisi kepada bayi.
Ini kerana, nutrien masih dapat disalurkan kepada kandungan melalui plasenta.
Sebaliknya, ia berkemungkinan besar berlaku disebabkan keadaan hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah ibu.
MENARIK DIBACA: Shafiq Cute layan isteri hamil bak permaisuri, siapkan aneka lauk 'frozen' untuk berbuka sepanjang Ramadan
MENARIK DIBACA: Air kelapa redakan ‘morning sickness’, cegah jangkitan saluran kencing ketika hamil
Apabila ibu hamil berpuasa terlalu lama tanpa pemantauan, paras gula boleh turun mendadak (hipo).
Dalam situasi ini, badan ibu akan menghasilkan lebih banyak keton iaitu sejenis bahan kimia yang terhasil apabila badan menggunakan lemak sebagai sumber tenaga akibat kekurangan glukosa.
Jika keadaan ini kerap berlaku, ia boleh memberi kesan buruk kepada kandungan.
Tambahnya lagi, sekiranya bacaan gula dalam darah turun bawah paras 4 mmol/L, ibu hamil perlu buka puasa serta-merta.
"Berbuka terus. Allah beri rukhsah kepada ibu mengandung ada sebabnya. Menjaga satu lagi nyawa adalah amanah dan juga ibadah," jelasnya.

Antara simptom hipoglisemia yang perlu diberi perhatian oleh ibu mengandung termasuk:
- Pening atau rasa berpusing
- Lemah melampau sehingga berjalan terhuyung-hayang
- Morning sickness yang semakin teruk
Tindakan jika alami hipoglisemia
Ibu hamil yang mengalami hipoglisemia perlu segera mengambil 15 gram karbohidrat pantas bertindak, seperti setengah cawan jus buah, segelas susu atau satu sudu makan madu/gula bagi menaikkan gula darah dengan cepat.
Kemudian ambil makanan karbohidrat kompleks seperti oat, roti gandum untuk kekalkan tahap tenaga.
Gabungkan karbohidrat dengan protein (seperti yogurt, kekacang) untuk mengekalkan gula darah stabil.
Tip tambahan:
Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap (setiap 3-4 jam) untuk elakkan paras gula jatuh.
Elakkan makanan tinggi gula ringkas secara berlebihan selepas pulih bagi mengelakkan lonjakan gula darah drastik.
Jika gejala berlarutan, sila dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan.