Perut tak selesa, rasa kembung dan berangin… Ini beberapa makanan perlu dielakkan
Dah masuk dua minggu berpuasa tapi masalah perut kembung dan berangin masih belum hilang-hilang.
Ketidakselesaan itu ada kalanya menganggu aktiviti harian seseorang sehingga membuatkan emosi terganggu.
Lebih parah apabila masalah itu menjadi lebih teruk sehingga perlu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Kali ini, Kuali nak kongsikan kepada pembaca beberapa makanan yang perlu dielakkan untuk mengurangkan masalah kembung perut dan berangin.

1. Roti
Roti memang sering kali dimakan oleh masyarakat di Malaysia, tambahan pula pada bulan Ramadan ini, roti sering menjadi makanan alternatif apabila waktu bersahur.
Namun hakikat sebenarnya roti mengandungi kandungan fruktan iaitu sejenis karbohidrat dan gluten yang boleh mencetuskan gejala intoleransi gluten atau sindrom usus rengas.
Untuk mengatasi masalah ini, mungkin anda boleh menukar pengambilan kepada makanan lain yang lebih mesra perut seperti bubur atau sup.

2. Produk tenusu
Meskipun ia bukanlah penyebab utama masalah kembung perut tetapi makanan dan minuman berasakan sumber ini juga merupakan punca masalah berkenaan.
Ia sering terjadi disebabkan intoleransi laktosa iaitu kekurangan enzim laktase untuk mencerna gula dalam susu.
Hal ini menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus. Bagi mengatasi masalah ini adalah dengan beralih kepada susu rendah laktosa, susu soya, badam, atau produk tenusu lactose free.

3. Minuman berkarbonat dan kafein
Minuman berkarbonat atau air gas ini sering menjadi punca utama perut kembung disebabkan kandungan gas yang terperangkap dalam saluran pencernaan.
Malah, kandungan gula yang tinggi juga boleh mengganggu penghadaman dan menyumbang rasa tak selesa pada perut.
Bagi mengelakkan masalah berkenaan, seelok-eloknya ambillah minuman seperti jus, teh atau air tanpa karbonat.
Elakkan juga minuman berkafein kerana ia juga menjadi faktor perut kembung dan tak selesa.

4. Kentang
Jangan terkejut kalau kentang pun menjadi salah satu punca perut berangin dan tak selesa.
Ini disebabkan kandungan kanji dan seratnya yang tinggi, terutamanya jika dimakan secara berlebihan atau digoreng.
Kentang juga dianggap makanan yang boleh menghasilkan gas, menjadikan sesetengah individu sensitif terutamanya semasa berpantang.

5. Buah-buahan
Buah-buahan seperti rambutan, mangga dan pisang juga menjadi salah satu punca masalah kembung perut.
Bukan itu sahaja, buah kering seperti prun, kismis, aprikot pun boleh menyebabkan ketidakselesaan perut kerana kandungan fruktosa dan serat tinggi.
Serat dan gula tinggi ini ditapis oleh bakteria dalam usus besar, lalu menghasilkan gas yang menyebabkan perut buncit dan tak selesa.