Tumpahkan kopi di kafe popular Indonesia, layanan staf dipuji - "Malaysia kena banyak belajar"
MENUMPAHKAN makanan atau minuman di kedai makan memang mencetuskan situasi cemas dan memalukan, apatah lagi apabila perhatian tertumpu kepada kita.
Melihat pekerja tergesa-gesa datang membersihkan makanan atau minuman yang tumpah turut membuatkan kita rasa serba salah.
Lagi ‘cuak’ kalau pekerja pula 'buat muka' atau menunjukkan reaksi kurang senang mereka.
Bagaimanapun, situasi berbeza dialami seorang pengguna Threads apabila anaknya tidak sengaja tertumpahkan secawan kopi di sebuah kafe popular di Jakarta, Indonesia.

Apa yang mengejutkan, pekerja di situ langsung tidak memarahinya atau menunjukkan wajah tidak menyenangkan, malah turut menawarkan minuman baharu secara percuma.
“Tadi kan anak aku tumpahkan satu cawan kopi kat Harlan + Holden, Plaza Indonesia, dah la masa tu customer ramai. Tapi staf dia langsung tak marah, tak buat muka pun.
“Bila aku nak order air baru dia cakap tak payah dan terus gantikan yang baru for free,” ujarnya.
Wanita itu berkongsi perkara berkenaan bersama beberapa keping gambar yang menunjukkan pekerja kafe tersebut sedang membersihkan lantai dan meja.
MENARIK DIBACA: Indonesia mohon Unesco iktiraf 'Budaya Tempe', netizen pelik nama Malaysia kena 'petik'
MENARIK DIBACA: Rupanya ayam gepuk tak popular di Indonesia! Cuma dimakan mahasiswa sebab murah
Tambahnya, dia sangat terharu dengan layanan diberikan kerana sebagai ibu, kejadian sebegitu sememangnya membuatkan dirinya berasa bersalah.
“Benda nampak kecil, tapi sebagai parents layanan macam ni buat aku rasa nak nangis. Aku mampu minta maaf je kat semua staf dia. Nak tolong mop pun tak bagi,” katanya.
Perkongsian tersebut kemudiannya mendapat perhatian netizen Malaysia yang rata-rata memuji cara pekerja kafe itu mengendalikan situasi berkenaan.
Bagi mereka, walaupun pelanggan melakukan kesilapan, cara pekerja memberikan respons dengan tenang dan mesra boleh membuatkan pelanggan berasa lebih dihargai.

Malah, ramai yang menyifatkan sikap pekerja tersebut adalah cerminan terhadap layanan profesional rakyat Indonesia, terutama dalam menjaga keselesaan pelanggan.
“Indonesian hospitality memang another level in this case. Malaysian kena banyak belajar tentang courtesy from them.
“I went to Bali and saya bagi 10/10 untuk hospitaliti. Memang bagus cara mereka layan tetamu.” antara komen netizen.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat agar pekerja tempatan seharusnya mencontohi sikap positif itu sekiranya mahu memajukan industri perkhidmatan di Malaysia.
“Kalau jadi kat Malaysia mesti dah kena sumpah seranah dengan pekerja. Malaysia patut contohi Indonesia dan Thailand.” komen netizen lagi.