Buang toksin, kuatkan imunisasi tubuh... Ini 5 makanan 'power' bantu anda kekal sihat musim jerebu
DI Malaysia, masalah jerebu bagai sudah menjadi 'isu negara' hampir setiap tahun.
Meskipun pelbagai langkah telah diambil, bacaan indeks pencemaran Udara (IPU) nampaknya semakin membimbangkan sekali gus menyebabkan kualiti udara berada pada tahap kurang sihat.
Selain memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti di luar, penjagaan kesihatan melalui pemakanan harian sebenarnya amat penting untuk melindungi diri daripada kesan buruk terhadap udara tercemar.
Justeru jangan ambil mudah, kualiti udara yang buruk boleh menjejaskan kesihatan tubuh jika anda tidak mengambil langkah berjaga-jaga dari awal.
Berikut adalah lima tip pemakanan penting yang boleh diamalkan sepanjang musim jerebu:

1. Minum air kosong secukupnya
Pastikan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas sehari.
Pengambilan cecair cukup penting untuk mengeluarkan toksin bawaan udara (airborne toxin) dari badan secara semula jadi.

2. Vitamin C
Imuninasi badan boleh dikuatkan dengan pengambilan buah-buahan seperti oren, jambu batu, buah naga dan kiwi.
Buah-buahan ini kaya dengan Vitamin C yang bertindak sebagai antihistamin dan antioksidan semula jadi untuk meningkatkan imuniti lebih-lebih lagi ketika badan lemah.

3. Vitamin A
Pengambilan tomato, lobak merah dan sayur-sayuran hijau yang mengandungi Vitamin A sangat bagus jika diambil dalam kuantiti banyak semasa musim jerebu.
MENARIK DIBACA: 7 jenama coklat Malaysia dengan rasa, kualiti terbaik setanding produk koko luar negara
MENARIK DIBACA: Pernah jadi makanan unik, netizen kongsi pengalaman makan telur penyu - “Macam hingus lembik”
Ini kerana, kesemua nutrisi berfungsi menjaga serta melindungi kesihatan saluran pernafasan dan paru-paru daripada keradangan.

4. Omega-3
Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 seperti ikan sardin, salmon, tuna serta kekacang dan bijirin tertentu.
Omega-3 mempunyai sifat anti radang yang dapat menyokong fungsi tubuh dan membantu mengawal proses keradangan.
Pengambilan makanan mengandungi Omega-3 sebagai sebahagian daripada diet seimbang boleh menjadi salah satu pilihan pemakanan yang baik ketika musim jerebu.

5. Sup panas dan teh herba
Bagi membantu melegakan ketidakselesaan seperti tekak kering, gatal atau iritasi ketika musim jerebu, pengambilan minuman suam seperti teh herba serta makanan berkuah seperti sup ayam atau ikan boleh menjadi pilihan.
Selain membantu mengekalkan hidrasi, sup turut membekalkan cecair dan pelbagai nutrien bergantung kepada bahan yang digunakan.
Bagaimanapun, minuman atau makanan suam ini lebih kepada membantu memberikan rasa lega dan selesa bukannya merawat kesan jerebu pada paru-paru.