6 makanan 'ditakuti' individu sedang diet, dianggap tak sihat... Hakikatnya baik untuk tubuh
MENTEGA akan naikkan bacaan kolesterol, telur pula tak boleh makan banyak, manakala kentang sering dianggap musuh utama bagi individu sedang diet.
Hakikatnya, beberapa makanan sering dipandang serong dalam masyarakat masih mempunyai khasiat tersendiri dan boleh menjadi sebahagian daripada diet seimbang.
Paling penting adalah cara penyediaan, kuantiti diambil dan keadaan kesihatan setiap individu.
Jadi, sebelum terus ‘mengharamkan’ makanan kegemaran daripada masuk senarai menu harian, jom lihat enam makanan yang sering dilabel tidak sihat tetapi sebenarnya tidaklah seburuk disangka.

1. Mentega
Mentega membekalkan lemak dan vitamin larut lemak diperlukan tubuh. Bahan itu juga tinggi kandungan lemak tepu.
Gunakan dalam kuantiti sederhana dan seimbangkan dengan sumber lemak lain lebih baik serta makanan berkhasiat.

2. Telur
Telur pula antara makanan paling lama dikaitkan dengan isu kolesterol sedangkan ia padat dengan nutrien dan membekalkan protein, kolina, vitamin serta mineral.
Bagi kebanyakan individu, telur boleh menjadi sebahagian daripada corak pemakanan yang sihat cuma, cara memasak perlu diberi perhatian.
MENARIK DIBACA: "Setahun tak minum ais, perut dia flat" - Wanita kagum kesan disiplin pantang lepas bersalin
MENARIK DIBACA: Keenakan mi lidi jadi bualan, 'kalah' mi kuning - "Rencah bodoh-bodoh sedap dah"
3. Kentang
Kentang antara bahan masakan sering kena 'boikot' lebih-lebih lagi dalam kalangan individu sedang diet.
Kentang membekalkan karbohidrat menjadi sumber tenaga kepada tubuh, selain mengandungi kalium, vitamin C dan beberapa nutrien lain.
Malah, kentang yang dimakan bersama kulitnya boleh memberikan lebih banyak nutrien.
4. Minyak kelapa
Minyak kelapa sering mendapat perhatian kerana dianggap sebagai alternatif lebih sihat berbanding minyak masak biasa.
Minyak kelapa mengandungi kandungan lemak tepu tinggi. Jadi, penggunaannya juga perlu dikawal dan tidak sepatutnya dianggap sebagai bahan boleh digunakan tanpa had.

5. Garam
Garam pula memang diperlukan tubuh, tetapi masalahnya apabila kita mengambil bahan ini terlalu banyak.
Natrium dalam garam memainkan peranan penting dalam fungsi badan.
Bagaimanapun, pengambilan natrium secara berlebihan boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi, khususnya dalam kalangan individu yang sensitif terhadap garam.

6. Kopi
Akhir sekali, berita baik buat kaki kopi! Ia bukan sekadar minuman untuk membantu menghilangkan rasa mengantuk sebaliknya kandungan kafein dan pelbagai sebatian tumbuhan padanya mempunyai potensi manfaat kepada kesihatan.
Pengambilan kopi secara sederhana juga dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan.
Kesimpulannya, pemakanan baik lebih kepada keseimbangan, kepelbagaian, saiz hidangan dan kekerapan pengambilan bukannya menyalahkan makanan secara mutlak.