Sarapan penting untuk anak? Kajian dedah kesan terhadap otak jika keluar awal pagi tanpa makan
SARAPAN adalah hidangan paling penting dalam kehidupan manusia seharian.
Ungkapan itu sudah diulang berkali-kali sejak dahulu sehingga ramai menerimanya sebagai satu fakta tanpa banyak persoalan.
Selain minum segelas air dan mendapatkan cahaya matahari pada waktu pagi, kita juga sering diingatkan supaya mengisi perut sebelum keluar rumah.
Bagaimanapun adakah sarapan benar-benar membantu seseorang memberi tumpuan dengan lebih baik ketika bekerja atau belajar?
Jawapannya, ya, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang masih berada dalam fasa perkembangan otak.

Kajian menunjukkan pengambilan sarapan boleh membantu meningkatkan perhatian, memori serta keupayaan berfikir dengan lebih jelas.
Sebaliknya, kerap meninggalkan sarapan dikaitkan dengan penurunan keupayaan dalam aspek tersebut.
Mekanismenya sebenarnya tidak terlalu rumit!
Otak menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga utama. Selepas tidur selama antara lapan hingga 12 jam, tubuh sudah lama tidak menerima makanan.
Sarapan membantu membekalkan semula tenaga kepada tubuh dan otak, sekali gus menyokong keupayaan untuk fokus, memproses maklumat serta mengingati sesuatu perkara pada waktu pagi.
MENARIK DIBACA: Ada sebab orang dulu-dulu tak guna sabun cuci lesung batu, cuma jirus air panas
MENARIK DIBACA: Keenakan mi lidi jadi bualan, 'kalah' mi kuning - "Rencah bodoh-bodoh sedap dah"
Bantu perhatian dan daya ingatan
Satu ulasan sistematik diterbitkan dalam jurnal 'Advances in Nutrition', melibatkan 45 kajian mengenai sarapan serta prestasi kognitif kanak-kanak dan remaja mendapati pengambilan sarapan memberi kesan positif terhadap perhatian, fungsi eksekutif dan memori jangka pendek.
Kesan tersebut dilihat lebih konsisten bagi tugasan memerlukan seseorang mengekalkan tumpuan untuk tempoh tertentu.
Ia termasuk situasi seperti mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas, mencatat nota dan memahami maklumat disampaikan oleh guru.
Di Malaysia pula, isu meninggalkan sarapan bukanlah sesuatu boleh dipandang ringan.
Satu kajian pada 2024 membabitkan murid sekolah rendah di Malaysia menerusi 'South East Asian Nutrition Surveys II' mendapati lebih satu daripada tiga kanak-kanak, iaitu 36 peratus, meninggalkan sarapan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Kajian diterbitkan dalam jurnal 'Appetite' itu turut mendapati kanak-kanak tidak mengambil sarapan mempunyai tenaga serta beberapa nutrien penting seperti kalsium dan zat besi lebih rendah.
Pelajar universiti juga ramai tak sarapan
Masalah ini nampaknya berterusan apabila meningkat dewasa.
Satu kajian pada 2025 oleh penyelidik dari University of Nottingham Malaysia mendapati 67.3 peratus pelajar universiti di Malaysia kerap meninggalkan sarapan.
Kajian diterbitkan dalam jurnal 'Perceptual and Motor Skills' itu turut mengaitkan tabiat tidak bersarapan dengan fungsi kognitif terjejas serta pencapaian akademik lebih rendah.
Ini bermakna lebih dua daripada tiga pelajar memulakan hari dan menghadiri kuliah tanpa mengambil makanan terlebih dahulu.
Satu lagi kajian pada 2024 menilai tahap perhatian pada waktu pagi dalam kalangan pelajar bidang kesihatan mendapati mereka mengambil sarapan lebih berkhasiat menunjukkan tahap tumpuan lebih baik ketika kelas pagi.
Kajian itu turut menunjukkan terdapat hubungan positif antara kualiti sarapan dan tahap perhatian.
Bukan semua sarapan sama
Walaupun begitu, ada satu perkara penting perlu diberi perhatian.
Bukti mengenai manfaat sarapan didapati lebih kuat dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Selain itu, apa dimakan ketika sarapan juga hampir sama penting dengan keputusan untuk bersarapan itu sendiri.
Sarapan mengandungi terlalu banyak gula dan karbohidrat bertapis boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dengan cepat sebelum kembali menurun.
Keadaan itu mungkin membuatkan seseorang berasa lebih bertenaga untuk seketika, tetapi kesannya boleh bertukar menjadi rasa lesu dan sukar memberi tumpuan menjelang pertengahan pagi.
Sebaliknya, makanan mengandungi protein, serat dan karbohidrat kompleks lebih membantu membekalkan tenaga secara berperingkat.

Ia juga dapat membantu mengekalkan paras gula dalam darah dengan lebih stabil untuk tempoh lebih lama.
Antara pilihan boleh dipertimbangkan termasuk telur, oat, roti bijirin penuh dan buah-buahan.
Jadi, nasihat supaya jangan keluar rumah dengan perut kosong mungkin bermanfaat.
Cuma, dalam usaha memulakan hari dengan lebih bertenaga dan fokus, bukan sekadar perlu bersarapan, tetapi pemilihan makanan di atas pinggan juga memainkan peranan penting.