Wanita maut tercekik ketika buat cabaran makan pantas
SEORANG wanita muda dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tercekik ketika menyertai cabaran makan pantas yang tular di TikTok.
Mangsa, Katia Araujo, dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai permainan batu-gunting-kertas yang digabungkan dengan cabaran menghabiskan makanan dalam masa singkat, pada 9 November lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, rakaman kejadian di San Cristóbal, Republik Dominican, Amerika Tengah itu yang tersebar di media sosial memaparkan mangsa mula menjauh dari meja ketika rakan-rakannya masih meneruskan permainan.
Beberapa saat kemudian, Araujo dilihat melintasi hadapan kamera sebelum bergerak ke tepi dan rebah ke lantai.
Rakan-rakan Araujo pada awalnya menyangka tindakan itu sebahagian daripada permainan tetapi mula menyedari sesuatu tidak kena apabila mangsa dilihat sukar bercakap dan hanya mampu mengeluarkan bunyi.

Mereka kemudian bergegas menghampiri mangsa sambil memintanya mengeluarkan makanan yang dipercayai tersekat di kerongkong.
Dalam keadaan cemas, ada antara mereka turut cuba membantu mengeluarkan makanan berkenaan manakala seorang kanak-kanak perempuan yang berada di lokasi kedengaran meminta supaya mangsa diberikan air.
Rakaman itu turut memaparkan rakan-rakannya berulang kali memanggil nama Araujo ketika cuba memberikan bantuan sebelum video berakhir.
Difahamkan, seorang jiran kemudian membawa mangsa ke hospital berhampiran namun dia didapati sudah meninggal dunia.
Pihak berkuasa bagaimanapun setakat ini belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai punca kematiannya.
Sebelum ini, beberapa kes kematian turut dilaporkan membabitkan cabaran berbahaya tular di media social yang menimbulkan kebimbangan terhadap trend sedemikian.
MENARIK DIBACA: Suka ambil 'dessert' lepas makan, risiko Alzheimer meningkat 69 peratus - Kajian
MENARIK DIBACA: Lelaki maut makan manisan 'inti' bahan letupan, biasa diguna untuk buru babi hutan
Cabaran dikenali sebagai 'Rock, Paper, Scissors Food Challenge' itu memerlukan dua peserta bermain batu-gunting-kertas di hadapan meja yang dipenuhi pelbagai makanan.
Pemenang setiap pusingan diberikan peluang untuk makan sebanyak mungkin manakala peserta yang kalah perlu berlari ke lokasi yang ditetapkan sebelum kembali semula untuk pusingan seterusnya.
Permainan itu diteruskan berulang kali sehingga semua makanan habis sekali gus mendorong peserta makan dalam keadaan tergesa-gesa bagi menghabiskan hidangan sebanyak mungkin.