Raja Charles III singgah van makanan jalanan jual 'jacket potato'
RAJA Britain, Raja Charles III mencuri perhatian apabila singgah di sebuah van makanan popular yang menjual hidangan jacket potato, Spudbros, di Preston, Lancashire, England.
Menurut laporan media, Raja Charles III sempat bertanya tentang jacket potato diketengahkan dua adik beradik, Jacob dan Harley Nelson malah berkongsi tentang keenakan kentang keju dengan kacang panggang sebagai menu klasik.
Kunjungan berkenaan turut menjadi lawatan pertama Raja Charles III yang juga Duke of Lancaster ke Lancashire sejak ditabalkan sebagai raja.

"Keju dan kacang panggang. Itu memang klasik," katanya ketika melakukan lawatan ini.
Bagi meraikan kunjungan diraja ini, Spudbros turut menyediakan hidangan khas, Royal Spud.
Mereka juga menghadiahkan kentang mini yang dikait, membawa mesej 'membantu orang lain, satu kentang pada satu masa' atau dikenali sebagai Positive Potato.
MENARIK DIBACA: Bercuti ke Vietnam jangan lupa cuba kopi belacan, siap ada 'topping' tuna kering
MENARIK DIBACA: Gelisah jika tak minum, anda sebenarnya ketagih kopi atau gula? Semak fakta ini
Dua adik beradik ini juga sempat membuat penerangan lanjut mengenai penggunaan bahan bagi kentang bakar popular itu yang disajikan oleh mereka.
Selain kacang panggang, kentang dan mentega serta keju diperoleh daripada pembekal tempatan di Preston.
Charles turut menunjukkan minat terhadap penyediaan hidangan ini apabila bertanyakan sama ada jenis kentang digunakan mampu menghasilkan kulit rangup selepas dibakar.

Menurut Jacob dan Harley, mereka lazimnya menggunakan kentang varieti Melody dari Tarleton, tetapi terpaksa menukar jenis kentang buat sementara waktu akibat kekurangan bekalan susulan keadaan cuaca dan kemarau.
Menerusi perkongsian di Instagram, Spudbros menyatakan bagaiaman mereka amat menghargai kunjungan tersebut.
Jacob dan Harley turut mengenang perjalanan perniagaan keluarganya yang mempunyai sejarah sejak 1955, sebelum berkembang menjadi jenama makanan dikenali ramai menerusi media sosial.
Dua beradik berkenaan terkenal di TikTok dan Instagram kerana menjual jacket potato dari sebuah trak berbentuk trem di Preston, Lancashire.