Ayam cendawan enoki... Asalnya menu diet, kini lauk kegemaran keluarga
BAGI yang sedang mencari idea menu diet ringkas, hidangan menggunakan cendawan enoki dan isi ayam ini boleh dijadikan pilihan.
Menerusi perkongsian seorang wanita, resipi ini bukan sahaja mudah, tapi cukup lengkap dengan nutrisi diet diperlukan.
"Menu diet saya, tapi dah jadi 'favourite' kami sekeluarga, terpaksalah saya masak banyak sikit," kongsinya di Threads.
Bagi yang mahukan kelainan, boleh cuba menu diet rendah kalori dengan kuah pekat sedap dihirup begitu saja!

Bahan-bahan
- Cendawan enoki
- Isi ayam
- 2 biji telur
- 2 sudu kicap cair
- 2 sudu sos tiram
- Kicap pekat (pilihan untuk memberikan warna)
- Sedikit tepung jagung
- 2 ulas bawang putih
- Daun bawang
MENARIK DIBACA: Nasi Kerabu Kelantan kini dilindungi Cap Kolektif, tak boleh letak kubis dan tauge
MENARIK DIBACA: Sotong campur udang goreng kunyit bersama nasi putih, dah tak perlu lauk lain!
Langkah penyediaan
- Pukul telur dan masak dalam kuali panas sehingga menjadi telur hancur yang gebu. Angkat dan ketepikan.
- Dalam kuali yang sama, masak isi ayam yang telah dihiris sehingga berubah warna. Masukkan bawang putih yang dicincang dan tumis hingga naik bau.
- Masukkan cendawan enoki dan masak sehingga lembut.
- Masukkan kicap cair, sos tiram dan kicap pekat jika digunakan. Gaul sehingga semua bahan sebati.
- Tambahkan sedikit tepung jagung yang telah dibancuh dengan air untuk memekatkan kuah. Masukkan telur hancur tadi dan gaul rata.
- Taburkan daun bawang dan hidangkan panas bersama nasi.