Wanita dakwa ayam goreng segera 'dibalut' benda asing seakan plastik - "Macam mana nak makan ni?"
HASRAT seorang wanita untuk menikmati ayam goreng rangup segera bertukar menjadi pengalaman hitam apabila dia mendakwa menemui objek kelihatan seperti plastik pada salah satu ketul ayam dalam bungkusan.
Perkara itu menarik perhatian ramai selepas wanita berkenaan berkongsi video dan gambar ayam goreng bersalut tepung tersebut di Threads.
Lebih mengejutkan, objek yang ditemuinya itu didakwa menyerupai sarung tangan plastik yang dikatakan sudah membaluti ayam.
"Ayam versi plastik, macam mana nak makan ni? Ada yang pernah kena ke?" tulisnya.
Menjelaskan kejadian itu di ruangan komen, dia berkata ayam berkenaan sedikit meletup ketika digoreng.
Dia bagaimanapun tidak menyangka terdapat objek asing yang kelihatan seperti plastik pada bahagian ayam tersebut selepas isinya dikoyak.

Pada awalnya, dia menyangka bahagian itu hanyalah isi ayam yang tebal dan sebaik sahaja cuba memotongnya, dia terkejut apabila menemui objek berkenaan.
"Masa goreng memang meletup sikit tapi tak expect kita goreng plastic. Kita ingat ayam bahagian daging yang tebal, lepas goreng tu nak cubalah potong, la sekali plastik," dakwanya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan pelbagai reaksi selepas melihat perkongsian tersebut.
Ada yang berpendapat objek berkenaan mungkin adalah sarung tangan yang secara tidak sengaja tercampur ketika proses penyediaan ayam.
"Entah-entah sarung tangan tercampur sekali dalam ayam kemudian digaul dalam tepung.
"Ini macam sarung tangan yang tersalut dengan tepung dan digoreng sekali," antara komen netizen.
Malah, ada juga yang menyarankan wanita berkenaan supaya membuat aduan rasmi kepada pihak jenama terbabit agar perkara itu dapat disiasat.

"Oh my God buat aduan pelanggan weh. E-mel! Habis pihak kawalan kualiti (QA/QC). Menjawablah apabila dah viral macam ini," tulis seorang warganet.
Dalam masa sama, terdapat juga netizen yang berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika membeli produk makanan sejuk beku didakwa daripada jenama sama.
"Baru-baru ini saya beli nuget jenama ini. Goreng sahaja terus masam. Buat aduan kepada pihak berkenaan pun kena sidai.
"Bila goreng banyak sangat darah keluar. Isi pun lebam hitam, bau hanyir kuat. Terus buang," kongsi warganet lain.
MENARIK DIBACA: Chef Fikree kongsi rahsia bihun goreng sedap... Gaul 'tepi' dulu, baru goreng atas api
MENARIK DIBACA:Minum kola, makan garam antara tip elak perut meragam dan cirit birit bercuti di 'overseas'
Tidak terhenti di situ, seorang pengguna turut mengimbas pengalaman keluarganya yang pernah berdepan isu penemuan objek asing dalam makanan jenama berkenaan.
"Dulu arwah atuk pernah masuk surat khabar sebab isu aduan jarum kerongsang terselit dalam nuget. Tahun 90-an, wakil jenama itu datang bawa dua pek nuget dan mohon maaf. Dulu tak terfikir pula nak saman-saman," ceritanya.
Dakwaan mengenai objek yang ditemui dalam ayam goreng berkenaan bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada sahih atau sebaliknya.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada pihak jenama berkenaan berhubung dakwaan yang tular itu.