Peti sejuk susu paling belakang, buah letak depan! Ramai tak sedar 'strategi' pasar raya
JIKA anda sering membeli belah di pasar raya, pasti sedar peti sejuk yang menyimpan produk susu biasanya terletak di bahagian paling belakang premis.
Tapi tahukah anda bahawa kedudukan itu sebenarnya bukan sekadar kebetulan?
Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada strategi pemasaran dan pengurusan barangan yang dirancang oleh pihak pasar raya sendiri.
Menurut laporan The Times of India, terdapat dua sebab utama mengapa produk susu sering diletakkan jauh dari pintu masuk.
Pertama untuk mendorong pelanggan melihat dan membeli produk lain, selain memudahkan urusan penyimpanan.
Strategi pelanggan banyak membeli
Salah satu sebab utama susu diletakkan di bahagian belakang adalah untuk menggalakkan pelanggan melihat lebih banyak barangan sepanjang perjalanan menuju ke peti sejuk.
Susu merupakan barangan keperluan harian yang biasanya memang sudah ada dalam senarai barangan yang mahu dibeli pelanggan.
Apabila peti sejuk susu diletakkan di hujung pasar raya, pelanggan perlu melalui beberapa lorong yang dipenuhi pelbagai produk seperti makanan ringan, minuman, makanan sejuk beku dan barangan promosi.

Keadaan ini secara tidak langsung menarik perhatian pelanggan untuk membeli barangan lain yang pada asalnya tidak dirancang.
Sebagai contoh, seseorang individu datang ke pasar raya hanya untuk membeli sekotak susu mungkin akhirnya membawa pulang beberapa barangan tambahan selepas tertarik dengan produk yang dilihat sepanjang perjalanan ke ruang jualan susu.
Malah, susun atur pasar raya biasanya turut dirancang supaya pelanggan melalui kawasan yang mempamerkan pelbagai produk menarik sebelum sampai ke kaunter pembayaran.
Di bahagian hadapan pula, pelanggan selalunya akan disambut dengan paparan buah-buahan segar, sayur-sayuran berwarna-warni atau aroma roti yang baru dibakar.
Semua ini bertujuan mewujudkan suasana membeli-belah yang menyenangkan dan membuatkan pelanggan lebih tertarik untuk meneroka seluruh pasar raya.

Faktor penyimpanan dan kesegaran susu
Selain strategi pemasaran, terdapat juga sebab teknikal mengapa peti sejuk susu sering ditempatkan di bahagian belakang pasar raya.
Susu merupakan produk mudah rosak jika tidak disimpan pada suhu yang sesuai.
Justeru ia perlu sentiasa berada dalam keadaan sejuk bagi memastikan kualiti dan kesegarannya terpelihara.
Kebiasaannya, bekalan susu dihantar menggunakan lori berhawa dingin dan diturunkan di kawasan penerimaan barang yang terletak di bahagian belakang pasar raya.
Dengan meletakkan peti sejuk berhampiran kawasan tersebut, pekerja lebih mudah memindahkan susu ke tempat penyimpanan tanpa perlu membawa barangan itu terlalu jauh.
Cara ini turut membantu mengurangkan tempoh susu berada di luar kawasan sejuk serta mengurangkan risiko produk rosak sebelum disusun untuk dijual kepada pelanggan.
Membeli dengan bijak
Kedudukan peti sejuk susu di bahagian belakang pasar raya bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Ia merupakan gabungan strategi pemasaran untuk menggalakkan pelanggan membeli lebih banyak barangan serta faktor logistik bagi memastikan susu kekal sejuk dan segar.
Jadi, selepas mengetahui rahsia di sebalik susun atur pasar raya ini, mungkin ada baiknya kita lebih berhati-hati ketika membeli-belah.
MENARIK DIBACA: Rupanya ada beza rasa kuah asam pedas dibuat guna asam keping dan asam jawa
MENARIK DIBACA:Cara bancuh 'hot chocolate' sihat, aroma harum... Tenang, hilang segala stres
Sediakan senarai barangan diperlukan sebelum keluar rumah dan cuba berpegang pada senarai tersebut.
Sekurang-kurangnya, anda dapat mengelakkan diri daripada membeli terlalu banyak barangan yang sebenarnya tidak diperlukan.
Kadang-kadang trik pasar raya ini tanpa sedar membuatkan kita berbelanja banyak.