Suka kelat atau rasa seimbang? Ini cara bezakan teh berkualiti dengan premium sekadar luaran
SECANGKIR teh yang sedap tak semestinya dibancuh menggunakan jenama mahal atau kotak yang cantik.
Sebaliknya, kualiti sebenar teh boleh dikenal pasti melalui bentuk daun teh dan rasa yang terhasil selepas diseduh.
Menurut perkongsian seorang pakar teh dikenali sebagai Ashfiya Ahmad, terdapat beberapa petunjuk mudah untuk mengenal pasti sama ada teh yang diminum benar-benar berkualiti atau sekadar kelihatan premium pada luarannya.

Jelasnya, langkah pertama ialah mengoyakkan uncang teh dan menuangkan isinya ke atas pinggan putih atau sekeping kertas.
"Dengan cara itu, anda boleh melihat dengan lebih jelas potongan daun teh yang digunakan.
"Kebiasaannya, anda akan mendapati cebisan daun teh yang sangat halus (broken grade), malah kadangkala terdapat batang, tangkai atau serat daun," katanya menerusi hantaran di laman Threads.
MENARIK DIBACA: 'Ketepikan' teh hijau, teh bunga raya paling kaya antioksidan - Kajian
MENARIK DIBACA: Teh halia bukan sekadar bantu legakan sakit perut, banyak manfaat mengamalkannya
Menurutnya, teh yang dipenuhi cebisan daun terlalu halus tak semestinya berkualiti tinggi.
Jelasnya lagi, daun teh yang terlalu halus mempunyai permukaan yang lebih luas, menyebabkan sebatian di dalamnya diekstrak dengan lebih cepat ketika diseduh.
"Jika rasa pahit dan kelat terlalu kuat, terutama pada teh yang menggunakan potongan daun yang sangat halus, ia berkemungkinan kerana permukaan daun besar menyebabkan sebatian di dalamnya diekstrak dengan lebih cepat," katanya.

Disebabkan itu juga, teh yang terlalu pekat, pahit dan kelat biasanya memerlukan gula untuk mengimbangi rasanya.
Sebaliknya, teh berkualiti lazimnya dihasilkan daripada pucuk daun teh terpilih serta diproses dengan lebih teliti.
"Biasanya mempunyai rasa yang lebih bersih, lebih seimbang serta tidak mudah menjadi pahit jika diseduh dengan cara yang betul," katanya.