Lelaki dedah kandungan sebenar kiub pati ayam, minta pengguna teliti label
PASTI ramai menganggap kiub pati ayam yang digunakan dalam masakan terhasil daripada rebusan tulang dan daging ayam sehingga mencipta rasa sup yang pekat dan menyelerakan.
Bagaimanapun, seorang pengguna Threads dikenali sebagai Wan Amr tampil berkongsi pandangan mengenai kandungan sebenar kiub pati ayam selepas mengajak orang ramai meneliti label ramuan pada bahagian belakang kotak.
Menerusi perkongsian tersebut, pengguna berkenaan mendakwa ramai sebenarnya tersalah anggap bahawa kandungan utama kiub pati ayam ialah ekstrak ayam.
Sebaliknya, bahan yang lazim ditemui pada kedudukan awal dalam senarai ramuan ialah garam, penguat rasa seperti monosodium glutamate (MSG) dan disodium inosinate, selain minyak sawit.

"Simple words, aku cakap, korang guna kiub ayam, sama macam masukkan garam, MSG dan lemak sawit berperisa ke dalam periuk sup," katanya dalam perkongsian tersebut.
Katanya lagi, kandungan daging atau ekstrak ayam dalam sesetengah produk kiub pati ayam adalah pada kadar yang rendah iaitu sekitar dua hingga lima peratus sahaja, bergantung kepada produk.
"Daging dan ekstrak ayam di mana?
"Selalunya kurang daripada dua peratus hingga lima peratus sahaja.
"Kedudukannya paling tercorot dalam kelas ingredients," tulisnya.

Hantaran itu juga menyatakan, rasa sedap seakan-akan stok ayam yang terdapat pada sup tidak semestinya datang daripada rebusan ayam yang dimasak berjam-jam.
Sebaliknya, rasa itu terhasil daripada gabungan bahan seperti MSG dan hydrolyzed vegetable protein (HVP), iaitu protein sayuran yang dihidrolisis dan digunakan sebagai bahan penambah rasa dalam sesetengah produk makanan.
Perkara lain yang turut ditekankan adalah kandungan sodium dalam kiub pati ayam.
Pengguna itu mendakwa, sesetengah kiub boleh mengandungi antara 1,000 hingga 1,800 miligram sodium dan jumlah tersebut boleh dianggap terlalu tinggi.
MENARIK DIBACA: Beli mahal, sayang jika buang kulit udang! Boleh buat serbuk perasa, banyak manfaat lain
MENARIK DIBACA: Kepala berdenyut lepas makan di luar, bagaimana nak kesan masakan banyak MSG?
"Satu kiub kecil tu boleh mengandungi 1,000 hingga 1,800 miligram sodium, iaitu hampir 70 hingga 90 peratus had pengambilan garam harian yang diperlukan badan.
"Banyak tu weh!" jelasnya.
Walaupun menyedari kandungan sebenar kiub pati ayam, pengguna tersebut tidak menghalang orang ramai daripada menggunakannya ketika memasak.

Sebaliknya, dia mencadangkan supaya kuantiti yang digunakan dikurangkan, terutama jika hidangan turut mengandungi bahan lain yang tinggi sodium.
“Kalau masak sup nak guna kiub, silakanlah. Tapi tak perlu kot sampai seketul dimasukkan begitu saja. Potong, masukkan sikit je," katanya.
Perkongsian itu kemudiannya menarik perhatian pengguna Threads lain yang rata-rata berkongsi pengalaman masing-masing ketika menggunakan kiub pati ayam.
Seorang pengguna berkata dia biasanya hanya menggunakan separuh kiub dan tidak lagi menambah garam ke dalam masakan kerana menyedari kiub tersebut sudah memberikan rasa masin dan umami.
"Satu kiub kecil tu boleh mengandungi 1,000 hingga 1,800 miligram sodium
pengguna
"Aku kalau masuk guna kuib ni, biasa letak separuh lepas tu tak letak garam dah. Memang dia MSG pun," ujar seorang pengguna.
Jadi, selepas ini, sebelum memasukkan kiub pati ayam ke dalam periuk sup, apa kata semak dahulu kandungannya pada belakang kotak.
Selain mengetahui apa yang dimakan, langkah tersebut juga boleh membantu pengguna mengawal jumlah sodium yang diambil setiap hari.