'Marry Me Chicken' resipi paling banyak dicari 2025, jom cuba buat sendiri di rumah
INTERNET kini menjadi medium utama untuk mencari pelbagai jenis informasi, termasuk idea dan resipi makanan.
Boleh dikatakan hampir setiap tahun pasti akan muncul hidangan yang menjadi fenomena dan ikutan pencinta kulinari dari seluruh dunia.
Menurut data carian Google, satu hidangan yang dinamakan ‘Marry Me Chicken’ mencuri perhatian ramai sehingga diangkat sebagai resipi paling banyak dicari pada 2025.
Sajian ini dipercayai dipopularkan oleh pencipta kandungan masakan menerusi platform seperti TikTok, Instagram dan Pinterest.

Dari segi rasa, sajian ini mengetangahkan ayam diperap dan digoreng rangup sebagai watak utama sajian.
Kombinasi sos krim, aroma bawang putih, rasa masin-berlemak keju parmesan dan masam manis tomato kering menjadikannya hidangan ini penuh lapisan rasa.
Setiap suapan terasa nikmat pedas berlemak, menjadikannya sesuai dihidangkan sebagai menu makan malam istimewa mahupun hidangan untuk seisi keluarga.
Jom Kuali tunjuk cara penyediaannya:
MENARIK DIBACA: Che Nom ajar 2 cara buat puding karamel, rasanya tetap sedap!
MENARIK DIBACA: Spageti ala mamak, ‘twist’ rasa Malaysia menambat selera
Bahan-bahan
- 2 ketul dada ayam (lebih kurang 500g), belah dua.
- ½ cawan tepung gandum
- 1 labu bawang putih (dicincang)
- ½ cawan hirisan tomato kering (sundried tomato)
- 1 cawan stok ayam
- 1 cawan heavy cream
- ½ cawan keju parmesan parut
- 2 sudu besar mentega
- 1 sudu besar minyak zaitun
- ½ sudu teh chili flakes
- ½ sudu teh oregano kering
- ¼ sudu teh thyme kering
- Garam dan lada hitam secukup rasa
- Daun basil segar untuk hiasan
Cara penyediaan
- Ratakan garam dan lada hitam pada kepingan dada ayam, kemudian salut dengan tepung gandum. Ketepikan.
- Panaskan minyak zaitun bersama mentega dalam kuali menggunakan api sederhana.
- Goreng ayam hingga keperangan di kedua-dua belah. Angkat dan ketepikan.
- Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan stok ayam, heavy cream dan keju parmesan.
- Biarkan sos mereneh hingga sedikit pekat. Perasakan dengan chili flakes, oregano dan thyme.
- Tambahkan tomato kering, kemudian masukkan ayam ke dalam sos.
- Renehkan lagi beberapa minit sehingga ayam masak sempurna dan sos pekat.
- Hiaskan dengan daun basil segar. Hidang panas-panas bersama pasta atau nasi.