Spageti goreng versi 'terangkat', sos tiram dan pes kacang soya rahsia kesedapan
RAMAI dalam kalangan kita akan rebus spageti untuk dimakan dengan sos bolognese atau carbonara tapi sekali-sekala apa kata cuba versi goreng yang lebih dekat dengan cita rasa orang kita.
Spageti goreng ini cukup mudah disediakan dan menariknya, boleh ditambah dengan protein seperti ayam, daging atau makanan laut mengikut selera.
Menerusi perkongsian resipi seorang pengguna Threads, gabungan sos tiram, kicap dan pes kacang soya pula membuatkan rasanya lebih umami dan menyelerakan.
Tak perlu bahan yang terlalu banyak, tapi sedap tak terkata.
Jom Kuali kongsikan resipinya:

Bahan-bahan
- 1 paket spageti
- 2 cili hijau besar, dihiris halus
- 2 cili merah besar, dihiris halus
- 3 ulas bawang putih, dicincang halus
- 2 sudu sos tiram
- 3 sudu kicap
- 2 sudu pes kacang soya
- 1 sudu tepung jagung
- 2 biji telur, digoreng hancur
- 3-4 sudu minyak masak
- Ayam atau daging kisar secukupnya
- Garam dan perasa secukupnya
- Air rebusan spageti secukupnya
MENARIK DIBACA: Spageti ala mamak, ‘twist’ rasa Malaysia menambat selera
MENARIK DIBACA: Bosan dengan carbonara dan bolognese, kena cuba resipi spageti tomyam berkrim
Cara penyediaan
- Rebus spageti separa masak. Jangan terlalu lembut kerana ia akan digoreng pula.
- Untuk protein, boleh gunakan ayam atau daging kisar. Makanan laut seperti udang dan sotong juga boleh ditambah mengikut selera.
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih sehingga naik bau.
- Masukkan protein pilihan dan masak seketika.
- Masukkan sos tiram, kicap, pes kacang soya, telur hancur dan sedikit air rebusan spageti. Gaul sehingga sebati.
- Bancuh tepung jagung dengan sedikit air, kemudian masukkan sedikit demi sedikit ke dalam kuali. Gaul sehingga kuah menjadi sedikit pekat.
- Perasakan dengan garam dan perasa mengikut selera.
- Masukkan spageti yang telah direbus dan gaul sehingga semua bahan sebati.
- Akhir sekali, masukkan hirisan cili hijau dan cili merah. Goreng seketika sebelum dihidangkan.