Asal dari Turkiye tapi Berlin digelar 'kota kebab' dunia, ini sebabnya!
KALAU sebut kebab, ramai mungkin terus berfikir ia berasal dari Turkiye.
Tapi tahukah anda bahawa Berlin, Jerman turut terkenal sebagai antara 'pusat kebab' paling popular di dunia?
Kota ini bukan sekadar mempunyai banyak kedai kebab malah hidangan berkenaan sudah menjadi sebahagian daripada budaya makanan penduduknya.
Dari gerai kecil di tepi jalan hinggalah restoran yang sentiasa dikunjungi pelanggan, kebab daging panggang cukup mudah ditemui di sekitar Berlin.
Menurut laporan NDTV Food, populariti kebab di bandar itu mempunyai kaitan rapat dengan kehadiran komuniti Turkiye yang berhijrah ke Jerman sejak beberapa dekad lalu.

Bermula dengan penghijrahan masyarakat Turkiye
Hidangan kebab di Berlin mula mendapat perhatian sekitar awal 1970-an, ketika semakin ramai pekerja dan imigran dari Turkiye berhijrah ke negara itu.
Tradisi makanan dari tanah air turut dibawa ke tempat baharu.
Salah satu hidangan yang berjaya menambat selera penduduk tempatan ialah kebab daging panggang.
Hidangan ini menggunakan daging yang disusun pada alat pemanggang menegak dan diputar ketika dibakar.
Setelah masak, daging akan dihiris nipis sebelum dihidangkan.
Di Berlin, hidangan kebab kemudian berkembang dengan cara penyediaan yang lebih sesuai untuk kehidupan bandar.
Daging bersama sayur-sayuran segar dan sos ditambah ke dalam roti menjadikannya hidangan yang mudah dibawa ketika bekerja atau dalam perjalanan.
Berbeza dengan cara tradisional yang menyajikan daging panggang secara berasingan, versi roti berisi ini menjadikan kebab lebih praktikal untuk dinikmati sebagai makanan segera.
Siapa yang mempopularkan kebab di Berlin?
Dua nama yang tidak asing dalam dunia kebab moden di Berlin ialah Kadir Nurman dan Mehmet Aygun.
Kedua-duanya dikaitkan dengan perkembangan hidangan kebab dalam bentuk roti berisi yang kini begitu popular.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan rekod mengenai siapa sebenarnya yang pertama memperkenalkan idea tersebut.
Justeru asal-usul versi kebab yang dinikmati hari ini masih mempunyai lebih daripada satu catatan sejarah.
Kedai kebab yang asalnya merupakan milik komuniti Turkiye mula berkembang khususnya di kawasan Kreuzberg dan Neukölln.
Hidangan yang pada awalnya dekat dengan komuniti imigran itu akhirnya berjaya menarik perhatian masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.

Ribuan kedai kebab meriahkan Berlin
Kini, kebab bukan lagi sekadar makanan yang mengingatkan penduduk kepada tradisi Turkiye sebaliknya ia sudah menjadi antara hidangan sinonim dengan Berlin.
Dianggarkan terdapat ribuan kedai kebab di seluruh kota itu menjadikan pilihan untuk menikmati hidangan berkenaan begitu luas.
MENARIK DIBACA: Kopi 'sachet' dianggap mewah! Ini 5 fakta menarik budaya 'mengopi' Korea Utara
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
Pihak berkuasa pelancongan Berlin turut mengetengahkan kebab daging panggang sebagai antara makanan yang patut dicuba oleh pengunjung yang ingin mengenali budaya kulinari tempatan.
Bagi pelancong, mencuba kebab di Berlin bukan sekadar soal menikmati makanan tetapi juga peluang merasai hasil pertembungan budaya yang membentuk identiti kota berkenaan.
Kebab turut berubah mengikut cita rasa semasa
Seperti makanan popular lain, kebab daging panggang di Berlin juga tidak terkecuali daripada perubahan selera pelanggan.
Jika dahulu daging menjadi tarikan utama, kini terdapat pelbagai pilihan yang menawarkan kelainan dari segi bahan dan penyediaan.
Antaranya ialah Gemüse Kebab iaitu variasi yang turut menggunakan sayur-sayuran panggang.
Pilihan vegetarian dan vegan juga semakin meluaskan kepelbagaian hidangan ini.
Perkembangan tersebut memperlihatkan bagaimana kebab terus menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa masyarakat Jerman.
Menariknya, identiti kebab daging panggang yang terkenal di Berlin terbentuk daripada gabungan tradisi masakan Turkiye dengan cara penyediaan yang berkembang di Jerman.
Walaupun Turkiye merupakan tempat asal tradisi hidangan kebab, Berlin berjaya membina reputasinya sendiri sehingga dikenali sebagai ibu kota kebab daging panggang dunia.