Rupa bentuk sama... Ketahui beza tepung pelita, kuih tako dan limas
PERNAH tak anda beli tepung pelita di bazar Ramadan, tapi apabila masuk waktu berbuka, rasa dan teksturnya berbeza tidak seperti kebiasaan.
Bukan itu saja, ada penambahan sengkuang Cina pada bahagian bawah yang membuatkan pembeli tertanya-tanya sama ada mereka ditipu atau perniaga itu sengaja mengolah resipi.
Mana tidaknya, bagi kebanyakan orang, apabila nampak sahaja kuih dengan permukaan santan putih dibungkus dalam daun, pasti ramai menganggap itu tepung pelita.
Namun sebenarnya, walaupun rupa dan warnanya hampir sama, ia mungkin merupakan jenis kuih yang berlainan.
Menurut perkongsian seorang netizen, kuih-kuih yang dimaksudkan itu adalah tepung pelita, kuih tako dan limas.
Ketiga-tiganya berbeza dari segi penggunaan bahan serta tekstur.

Tepung pelita
Tepung pelita diperbuat daripada tepung beras dan santan, menghasilkan tekstur yang lembut dan sedikit kenyal.
Kuih ini biasanya dibungkus menggunakan daun pisang, dengan lapisan bawah berwarna hijau daripada pandan dan lapisan atas berwarna putih santan.
Rasanya manis, wangi, dan sangat lembut dimakan.

Kuih tako
Kuih tako menggunakan tepung jagung, yang memberikan tekstur lebih kenyal dan sedikit padat berbanding tepung pelita.
Selalunya, ia dibungkus dengan daun pandan, dan kadang-kadang ditabur dengan sengkuang cina atau jagung bagi menambahkan rasa rangup dan manis.
MENARIK DIBACA: Quesillo mula jadi pilihan, ada beza dengan puding karamel
MENARIK DIBACA: Aromanya buat bangkit selera, ini resipi kuih bakar mudah dan sedap
Bentuknya kelongsongnya juga pelbagai, ada yang dibuat segi tiga atau segi empat.

Kuih limas
Limas diperbuat daripada tepung gandum, menjadikannya lebih padat dan sedikit liat.
Seperti tepung pelita, ia dibungkus menggunakan daun pisang, tetapi biasanya bahagian bawah ditabur dengan gula dahulu.
Teksturnya lebih berat, sesuai bagi mereka yang sukakan kuih yang kenyang dimakan.