Nama Musang King hak milik Malaysia, negara lain tak boleh suka-suka guna – Mat Sabu
DURIAN Musang King memang terkenal sebagai 'raja durian' dari Malaysia.
Jadi tak hairanlah bila kerajaan tegas mempertahankan namanya daripada digunakan sesuka hati oleh negara lain.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamed Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan Musang King dilindungi di bawah pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) Malaysia.
Maksudnya, hanya durian dari Malaysia sahaja yang boleh dipanggil Musang King.

“Musang King ini milik Malaysia. Negara lain tak boleh sewenang-wenangnya guna nama sama. Mungkin rupa nampak macam sama, tapi rasa memang lain,” kata Mohamed Sabu.
Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab persoalan tentang durian dari Thailand dan Vietnam yang didakwa masuk ke Malaysia sebelum dieksport ke China, malah ada yang terus dijual ke China dengan label Musang King.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA:Air madu citron bantu sembuhkan batuk berpanjangan
Menurutnya, Malaysia kini sedang berbincang secara berterusan dengan pihak Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi memastikan hanya Musang King asli dari Malaysia dibenarkan masuk ke pasaran negara itu.
Dalam masa sama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memastikan setiap Musang King eksport mempunyai label rasmi Fama dan cop MyBest sebagai tanda ia tulen dari Malaysia.

“Setiap kali saya ke China, sama ada atas urusan rasmi atau peribadi, saya akan melihat sendiri durian yang dijual di sana
“Ada yang dilabel sebagai Musang King, tetapi rasanya jelas tidak sama. Sebab itu pihak berkuasa kita akan terus berunding dengan GACC.
“Kita kena pertahankan varieti ini. Nilai eksport ke China sangat tinggi dan ia jadi sumber pendapatan penting untuk petani tempatan,” jelasnya.
Pendek kata, Musang King bukan sekadar durian biasa, ia jenama kebanggaan negara yang perlu dijaga bersama.