Guna air soda, jus lemon atau yogurt antara tip lembutkan daging... Bau hamis pun hilang
RAMAI pencinta makanan berasaskan kambing pasti pernah berdepan masalah seperti daging liat, keras dan berbau hamis walaupun sudah dimasak lama.
Lebih-lebih lagi bila daging dimasak secara perapan, ada kalanya masih ada bau hamis yang membantutkan selera.
Seorang pengguna Threads mendedahkan cara mudah untuk melembutkan daging kambing atau daging lembu menggunakan air soda.
Menurut perkongsiannya, teknik tersebut bukan sahaja membantu melembutkan tekstur daging malah turut mengurangkan bau hamis.
"Salam semua, meh saya nak kongsi satu tip nak bagi kambing/daging kita lembut dan tak berbau hamis. Ni saya kongsi cara rendaman dulu ya," tulisnya.

Kongsinya, daging seberat lima kilogram direndam bersama tiga botol besar air soda dan ditambah sedikit air supaya semua daging terendam sepenuhnya kemudian dibiarkan selama dua jam.
Di ruangan komen, ada netizen menjelaskan dari sudut sains di sebalik teknik itu.
Menurut seorang pengguna lain, kandungan asid lembut dalam minuman berkarbonat seperti soda dipercayai membantu memecahkan serat protein keras pada daging.
MENARIK DIBACA: Ada syarat, ciri tertentu... Sunat pilih warna haiwan korban dianjurkan dalam Islam
MENARIK DIBACA: Gardentopia di 'rooftop' Wisma Tani jadi pusat rujukan orang bandar minat berkebun di ruang terhad
"Dari sudut sains, asid lembut dalam soda membantu memecahkan serat protein keras dalam daging kambing menjadikannya sangat lembut.
"Sebagai ganti soda, boleh menggunakan jus lemon segar yang dicampur dengan air, yogurt atau susu mentega.

"Semua pilihan ini mengandungi asid yang membantu memecahkan struktur daging manakala pilihan berasaskan tenusu juga boleh membantu mengaktifkan enzim semula jadi melembutkan daging.
"Cuma berhati-hati supaya tidak memerap terlalu lama lebih daripada 8 hingga 12 jam kerana daging boleh menjadi terlalu lembik," kongsi netizen.
Tak kurang juga ada yang berkongsi kaedah untuk mempercepatkan proses tersebut.
"Kalau nak cepat sikit proses tu, gosok dulu dengan 'baking soda' kemudian biar dalam 30 minit lepas tu bilas je.
"Lepas tu masuk dalam rendaman dengan cuka putih. Kalau nak rasa dia lagi kaw boleh rebus asing rempah dengan herba dalam air kemudian campur air rebusan tu sekali semua," kongsi warganet lagi.