Daging korban bertukar hijau selepas 'rehat' 7 jam, berbau pula… Ini antara puncanya
SETIAP kali musim ibadah korban, ramai mengambil peluang menyimpan stok daging segar untuk dinikmati bersama keluarga.
Namun bagi seorang wanita, pengalaman tahun ini bertukar menjadi situasi mencemaskan apabila daging yang disimpan di dalam peti sejuk berubah warna kehijauan selain mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Menerusi perkongsian di Threads, individu itu berasa keliru dan meminta pandangan orang ramai mengenai keadaan daging tersebut.
“Mohon pendapat kenapa daging korban tukar jadi warna hijau macam ni eh? Elok lagi ke nak makan?

“Saya letak dalam chiller semalam sekitar pukul 1 pagi, 10 malam hari ini baru saya keluarkan nak letak dalam freezer,” tulisnya.
Tambahnya lagi, dia pada awalnya mengikuti tip penyimpanan daging yang dikatakan perlu ‘direhatkan’ di bahagian chiller sebelum dimasukkan ke dalam freezer.
Bagaimanapun, keadaan daging yang berubah warna selain berbau kuat membuatkan dia mula risau tentang tahap keselamatan makanan itu.
MENARIK DIBACA: Elak buat 5 kesilapan biasa ini sebelum, semasa dan selepas sembelih haiwan korban
MENARIK DIBACA: Pulut hitam jadi skrub, usahawan 'angkat' tradisi bakal pengantin kaum Kaili
Perkongsian tersebut pantas meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai cara pengendalian daging korban.
Ada yang berpendapat kemungkinan daging itu sudah terlalu lama terdedah pada suhu bilik sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
“Mungkin masa awak dapat pun dah lewat, daging dah lama di luar. Kemudian masuk chiller tak cukup sejuk, itu yang rosak.
“Saya lepas dapat daging korban terus simpan dalam chiller lima jam, kemudian asingkan dalam bekas dan masuk freezer. Masih elok,” tulis seorang netizen.
Selain itu, ada juga yang menjelaskan bahawa tip menyimpan daging di dalam chiller terlebih dahulu mungkin lebih sesuai untuk daging yang dikendalikan secara profesional di pusat sembelihan.
“Tip tujuh jam dalam chiller mungkin sesuai kalau daging dikendalikan ikut SOP pusat sembelihan.
“Kalau daging korban, banyak risiko pencemaran sebab ada yang terkena tanah, rumput, banyak tangan pegang masa melapah, memotong dan membungkus,” komen seorang lagi pengguna.

Dalam pada itu, seorang netizen turut berkongsi penjelasan berkaitan perubahan warna daging serta tanda-tanda daging sudah rosak.
“Hijau tu mungkin daripada darah yang dah oxidise. Tapi kena risau kalau ada bau busuk macam bangkai, permukaan berlendir dan warna berubah jadi biru atau hijau gelap.
“Kalau tak ada tanda itu, masih boleh dimakan tapi kena cepat masak,” jelasnya.
Perkongsian tersebut sekali gus membuka perbincangan tentang pentingnya pengendalian serta penyimpanan daging korban dengan cara yang betul bagi mengelakkan pembaziran dan risiko keracunan makanan.
“Terima kasih atas pendapat semua. Kesimpulannya terpaksa juga buang atau tanam daging ni, tak ada rezeki saya.
“Saya akan belajar daripada kesilapan, lepas ni masuk je freezer terus.
“Saya ikut tip kata kena rehatkan dalam chiller dulu dua hingga 24 jam baru masuk freezer. Entahlah, tapi bau pun macam agak kuat dah juga ni,” katanya lagi.