[V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
HANYA dengan slogan 'tembikai tak campur air', seorang peniaga berjaya mencuri perhatian pelanggan selepas perkongsiannya tular di media sosial.
Konsep unik itu menarik perhatian warga maya apabila peniaga berkenaan memaklumkan jus tembikai yang dijualnya dihasilkan 100 peratus daripada isi buah segar tanpa campuran air, gula atau bahan tambahan lain.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Threads Aida Yasmin, peniaga tersebut dilihat sedang mengasingkan potongan tembikai merah segar yang telah dibekukan sebelum terus dituangkan ke dalam balang air.

"Idea suami saya ni boleh jadi paling 'bodoh' atau paling bijak, tak ada in 'between' . Dia rancang nak jual air tembikai betul-betul 'piyor' (pure) punya.
"Dia kata dekat bazar selalu orang 'claim' jus tembikai ori tak campur air, lepas tu letak dalam balang isi ais juga. Sedangkan ais tu cair jadi air juga.
"Jadi idea dia nak jual jus tembikai dan aisnya pun guna jus tembikai yang dijadikan kiub ais," jelasnya yang berniaga di Gerai Nasi Lemak Kak Jah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.
Niat asal wanita ini hanya ingin berkongsi tentang bisnes suaminya kepada orang ramai namun tidak menyangka minuman itu mendapat sambutan.

"Astaghfirullah dah kenapa viral sangat ni. Kami baru tanya sahaja okay ke tak kalau buat ni, tetiba ramai datang hari ni dan air tembikai tak buat banyak pun.
"Terima kasih yang datang hari ini, beratur tunggu lama tadi. Hari ini kita 'sold out' ya, InsyaAllah 'next' hari Khamis akan buka ya," katanya.
MENARIK DIBACA:Air madu citron bantu sembuhkan batuk berpanjangan
MENARIK DIBACA: Hanya sembur 3 kali sehari, toner DIY cengkih dan air beras bantu serikan wajah
Rata-rata pengguna media sosial memuji inisiatif itu yang disifatkan lebih tulen dan mengekalkan rasa asli buah berkenaan malah boleh dicontohi peniaga lain.
"Untuk peniaga air tembikai yang lain, boleh ikut jejak abang ni. Saya dah penat beli air tembikai tapi rasa sirap akhirnya saya buat sendiri lagi sedap.
"Untuk peniaga bazar yang selalu mengadu tak laku tu bolehlah tiru cara 'banner' abang ni. Dari jauh saya dah tahu benda apa nak dijual dan apa USP (unique selling point) dia.

"Jangan besarkan 'brand' sendiri yang belum terkenal tu, besarkan apa yang anda nak jual.
"Saya suka tembikai, jadi akan 'support' sangat-sangat! Kecewa tau beli mahal-mahal tapi kadang tembikai diaorang letak sirap, kalau 'pure' macam ni memang la saya beli lebih," antara komen warga maya pada hantaran tersebut.
Sehingga kini, perkongsian tersebut terus meraih puluhan ribu tontonan dan perkongsian, sekali gus membantu meningkatkan populariti peniaga tersebut.
Difahamkan jus tembikai tersebut dijual pada harga RM4 untuk saiz kecil manakal RM6 untuk saiz besar.