'Auto reply' restoran terlebih mesra dianggap tak profesional, suami risau isteri salah faham
NIAT seorang suami sekadar mahu memesan makanan secara dalam talian, namun lain pula yang berlaku apabila mesej balasan automatik diterima boleh membuatkan isterinya gugur jantung.
Situasi lucu tetapi mencetuskan perdebatan itu dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi Threads.
Menurutnya, mesej auto reply yang diterima daripada sebuah restoran menggunakan panggilan manja terhadap pelanggan boleh membuatkan isterinya terkejut.
"Korang kalau niaga tolong jangan letak auto reply macam ni ye. Wife aku baca terus gugur jantung dia.

"Padahal aku nak order makanan je," tulisnya ringkas.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, restoran berkenaan dilihat menggunakan panggilan seperti ‘sayang’ dalam mesej balasan automatik kepada pelanggan.
Perkongsian tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan penggunaan panggilan terlalu mesra dalam urusan perniagaan.
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
MENARIK DIBACA: Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!
"Tak perlu kot auto reply 'sayang-sayang' gitu. Dia punya customer bukan perempuan je. Jual makanan pula tu adoi lah," komen seorang netizen.
Ada juga yang berpendapat penggunaan panggilan formal lebih sesuai bagi menjaga profesionalisme sesebuah perniagaan.
"Mengarut je guna ayat macam tu buat bisnes. Nak niaga lama kan? Guna formal punya panggilan," tulis seorang lagi pengguna media sosial.
Selain itu, ramai mengakui mereka sendiri kurang selesa apabila dipanggil dengan gelaran manja oleh peniaga yang tidak dikenali.
"Seller gini maaf aku terus 'block' je. Sesedap hati nak panggil sayang," ujar netizen lain.

Malah ada yang berpendapat penggunaan kata ganti diri seperti 'puan', 'encik' atau 'cik' lebih sopan dan sesuai digunakan dalam komunikasi bersama pelanggan.
"Saya perempuan pun tak suka seller bersayang-sayang sebab macam tak sesuai pula. Banyak lagi panggilan yang sesuai," komen seorang wanita.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang berseloroh mengatakan situasi tersebut mungkin boleh mencetuskan salah faham terutama bagi pelanggan yang sudah berumah tangga.
Apa pun, perkongsian itu membuka perbincangan mengenai etika komunikasi dalam perniagaan, selain mengingatkan peniaga supaya lebih berhati-hati memilih ayat atau panggilan ketika berurusan dengan pelanggan.