Tiga jenama China tamatkan kontrak Kylian Mbappe
TIGA jenama makanan dan minuman China dilaporkan menamatkan kontrak kerjasama dengan Kylian Mbappe selepas bintang bola sepak Perancis itu didakwa mengejek bekas pemimpin China, Mao Zedong.
Jenama yang terlibat ialah Dongpeng (minuman tenaga) serta Mengniu dan Milkground yang masing-masing merupakan pengeluar produk tenusu dan keju
Memetik laporan The Straits Times, tindakan itu susulan komen Mbappe mengenai gambar wajahnya disunting pada imej Mao, pengasas Republik Rakyat China yang meninggal dunia pada 1976.
Dalam video berkenaan, Mbappe dilihat ketawa besar ketika melihat gambar berkenaan malah menyifatkan imej itu paling melucukan pernah dilihat.
Klip berkenaan dimuat naik menerusi laman media sosial program bual bicara The Bridge pada 26 Oktober lalu.

Susulan kontroversi itu, jenama minuman tenaga Dongpeng turut menegaskan pendirian mereka yang tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tindakan yang menyinggung perasaan rakyat China.
“Syarikat kami menentang sekeras-kerasnya dan mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang menyinggung sentimen nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Sedar akan ketelanjurannya, Mbappe segera memohon maaf selain menegaskan dia langsung tidak berniat menyinggung hati mana-mana pihak.
“Komen saya tidak wajar dan kini saya memahami bahawa ia telah menyakiti ramai orang di China serta komuniti Cina di seluruh dunia. Saya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan kata-kata saya,” katanya.
MENARIK DIBACA: Bekas jurulatih skuad bola sepak Korea Selatan 'diharamkan' masuk restoran, kedai serbaneka
MENARIK DIBACA: Yamal suka nasi ayam! Ini makanan kegemaran 6 pemain bintang beraksi di Piala Dunia 2026
Dalam perkembangan sama, La Liga turut menyuarakan kekesalan terhadap komen tersebut yang menyinggung peminat bola sepak di China.
Bagaimanapun, liga bola sepak Sepanyol itu menegaskan kenyataan berkenaan dibuat oleh Mbappe atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian La Liga.
Kontroversi itu turut mencetuskan kemungkinan kesan lebih luas apabila penyiar milik kerajaan China, The Paper, melaporkan bahawa siaran perlawanan La Liga di televisyen awam negara itu digantung.
Di China, jenaka mengenai Mao Zedong, tokoh penting dalam sejarah negara itu, kekal sebagai perkara sensitif.