Lelaki pertahankan keaslian laksa utara, anggap 'murtad' kalau letak daun salad!
SELAMA ini kita sudah terbiasa melihat hidangan asam laksa disajikan bersama daun salad sebagai salah satu pelengkap dalam juadah tersebut.
Bagaimanapun, asam laksa yang kita nikmati hari ini dikatakan telah mengalami perubahan dari segi bahan yang digunakan, sehingga ramai keliru tentang identiti asli juadah popular itu.
Seorang lelaki yang juga peniaga pasar malam mencetuskan perdebatan dalam media sosial apabila cuba mempertahankan keaslian laksa utara.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, lelaki tersebut menganggap laksa yang dimakan dengan daun salad sebagai 'laksa murtad'.

Kedengaran agak kasar, namun lelaki itu berkata resipi asli laksa utara sebenarnya tidak menggunakan daun salad, sebaliknya hanya menggunakan timun dan bawang sahaja sebagai pelengkap.
"Laksa letak salad ialah laksa murtad. Sepatutnya timun dan bawang sahaja. Selain daripada itu tak sedap.
"Entah apa-apa letak salad dalam laksa. Ini bukan 'salad bowl'," tegasnya mempertahankan pendirian.
Hantaran yang dikongsikan itu pantas menarik perhatian netizen yang tampil memberikan pelbagai pandangan.
MENARIK DIBACA: Ada beza antara laksa Penang, Kedah dan Perlis walau sama-sama asal dari utara
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi pengalaman masak laksa Johor untuk Tunku Azizah, dapat ilmu berharga gara-gara kacang panjang
Berdasarkan kebanyakan komen yang ditinggalkan, tidak ramai boleh menerima hakikat jika asam laksa tidak dihidangkan tanpa salad.
Malah, ramai beranggapan daun salad menjadi elemen yang menjadikan asam laksa itu sedap.
"Apa ni? Aku kat planet mana? Dari kecil aku makan laksa Penang ada salad, laksa Kedah je ada timun dan bawang.
"Tidak! Saya nak salad banyak-banyak, laksa sikit je. Telur rebus 'extra'. Timun dan bawang sipi-sipi. Letak kicap sikit.
"Laksa letak salad sedap terpelanting kot!" antara komen netizen yang mempertahankan daun salad.

Walaupun ramai cuba untuk mempertahankan daun salad digunakan dalam laksa, lelaki itu tetap teguh dengan pendiriannya sambil memberikan hujah kos untuk salad jauh lebih mahal berbanding timun dan bawang.
"Tak patut salad dalam laksa, kalau 'salad bowl' bolehlah.
"Lagipun salad mahal dan tak berkhasiat. Lebih baik timun dan bawang," tegasnya.
Selain bawang dan timun, ada juga yang mendakwa resipi asli asam laksa sepatutnya perlu ada sejenis ulam dikenali daun selom.
Bagaimanapun, disebabkan ualm tersebut sukar ditemui, maka ramai menggunakan daun salad sebagai pengganti.
Ada juga yang menggemari laksa dimakan dengan daun pudina, nanas atau pucuk janggus.