Imbau zaman sekolah, lebih 2,000 peserta sertai pertandingan curi makan dalam kelas
SEBUAH pusat beli-belah di China mencuri perhatian ramai apabila menganjurkan pertandingan unik bertemakan kenangan 'curi-curi makan' dalam kelas sehingga tular di media sosial.
Acara dikenali sebagai 'Steal A Bite of Paofan' itu berlangsung di Ningbo pada 17 Mei lalu dan berjaya menarik lebih 2,000 peserta terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah hingga warga emas.
Peserta diberikan semangkuk nasi direndam dalam sup atau 'paofan' gaya Ningbo, sebelum diminta menghabiskan makanan tersebut tanpa ditangkap oleh 'guru' sedang mengendalikan kelas olok-olok.
Pertandingan diadakan dalam suasana bilik darjah simulasi di ruang atrium pusat beli-belah berkenaan.

Jika peserta 'kantoi' curi makan, mereka perlu berdiri selama 30 saat sebagai hukuman dan tidak dibenarkan menyambung makan sepanjang tempoh itu.
Tiga kali tertangkap pula menyebabkan peserta disingkirkan.
Setiap pusingan berlangsung selama 10 minit dari pukul 12 tengah hari hingga 9 malam, sebelum peserta terpantas mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara.
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
MENARIK DIBACA: Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!
Menurut media China, pertandingan itu akhirnya dimenangi seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang membawa pulang sebutir beras emas seberat satu gram bernilai kira-kira 1,400 yuan (RM900).
Lucunya, lelaki tersebut mengaku dia sebenarnya tidak bercadang untuk menyertai pertandingan itu kerana asalnya hanya datang ke pusat beli-belah untuk membeli lampin bayi.
Penganjur memaklumkan idea pertandingan tercetus daripada kenangan nostalgia ramai orang yang pernah makan secara sembunyi-sembunyi ketika guru sedang mengajar di sekolah.
Suasana pertandingan turut digambarkan sebagai kelam-kabut dan mencuit hati apabila ada peserta menyembunyikan suapan di sebalik buku teks, malah ada yang menyelam bawah meja semata-mata mahu menghabiskan sup dengan cepat.
Seorang kanak-kanak pula dilihat berdiri rapat di sebelah 'guru' sambil makan sepantas kilat tanpa disedari.

Pertandingan itu tular di media sosial seperti Douyin dan Xiaohongshu dengan ramai netizen terhibur melihat gelagat peserta.
Malah kehadiran seorang peserta warga asing yang digelar sebagai 'pelajar antarabangsa' turut mencetuskan persoalan tentang sama ada pelajar luar negara juga pernah curi-curi makan dalam kelas.
Ramai peserta mengakui mereka sudah tamat sekolah lebih sedekad lalu, namun tetap menyertai pertandingan tersebut demi mengimbau semula perasaan berdebar ketika makan secara rahsia di dalam kelas.
Penganjur turut memuji peserta kanak-kanak sekolah rendah yang dianggap sangat hebat sehingga disamakan dengan 'pemain profesional' kerana tiada seorang pun berjaya ditangkap sepanjang pertandingan berlangsung.