Pelanggan buat aduan, staf ganti makanan 'baharu' diambil dari tong sampah dan diludah
SEORANG pelanggan tidak menyangka aduan mengenai makanan yang dipesan dari sebuah restoran makanan segera bertukar menjadi pengalaman menjijikkan.
Dia disahkan diberikan makanan yang telah dibuang dalam tong sampah dan mempunyai ludah pekerja restoran.
Insiden yang berlaku di sebuah cawangan Wendy's di Union, South Carolina, Amerika Syarikat itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan pelanggan, malah membawa kepada penahanan tiga pekerja terlibat.

Menurut laporan media antarabangsa, kejadian berlaku pada 31 Mei lalu apabila pelanggan tersebut membuat aduan kerana makanan diterimanya tidak menepati jangkaan sebelum meminta wang dikembalikan.
Bagaimanapun, pihak restoran menawarkan untuk memberikan makanan baharu dan pelanggan menerima tawaran tersebut sebelum meninggalkan premis sambil menikmati makanan yang disangka baru disediakan.
Tidak lama kemudian, pelanggan berkenaan menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku bekerja di restoran tersebut.
Pekerja itu memaklumkan bahawa makanan dimakannya telah diludah pekerja lain, malah diambil semula dari tong sampah sebelum diserahkan kepadanya.
MENARIK DIBACA: Dah cuba banyak tip, nasi dimasak tetap cepat basi! Netizen kongsi petua, ada kait dengan mistik
MENARIK DIBACA: Famili kecil, orang bujang disaran masak nasi dalam cawan... Hasil 'cantik', tak berkerak
Terkejut dengan dakwaan itu, pelanggan berkenaan memeriksa semula makanannya dan menyedari ia sebenarnya adalah sajian sama diperolehi sebelum itu.
Dia kemudian menghubungi pihak restoran dan berbincang dengan pengurus premis berkenaan.
Menurut laporan, pengurus restoran mengesahkan sudah bercakap dengan tiga pekerja terbabit sebelum pihak polis memulakan siasatan.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga pekerja restoran, iaitu Aaliyah Shuntai Sanders, 23, Trinity Lashell Rice, 19, dan Shadela Crystal Holley, antara 16 hingga 22 Jun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa atas kesalahan berkaitan pencemaran atau manipulasi makanan disediakan kepada pelanggan.
Sementara itu, pihak Wendy's memaklumkan bahawa tindakan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima dan semua pekerja telah diberhentikan daripada perkhidmatan.

"Ini merupakan insiden terpencil berlaku di salah satu restoran kami di South Carolina. Pemilik francais mengambil perkara ini dengan sangat serius dan segera memberhentikan individu dipercayai terlibat sebaik sahaja mengetahui kejadian tersebut.
"Pasukan kami turut menjalankan semakan menyeluruh dan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
“Tingkah laku seperti ini langsung tidak mencerminkan nilai yang dipegang oleh Wendy's," menurut kenyataan syarikat itu.