Tunggu pelanggan sampai tersengguk! Wanita sebak, pukul 4.30 pagi pakcik masih gigih cari rezeki
TIDAK semua insan melalui jalan atau cabaran yang sama dalam mencari rezeki.
Ada yang membina kerjaya di pejabat, berniaga kecil-kecilan di kaki lima, malah ada yang mencari rezeki di mana-mana lokasi tanpa mengira siang atau malam.
Kisah seorang warga emas mencuri perhatian ramai selepas dia dilihat masih berniaga di sebuah stesen minyak di Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah pada awal pagi, meskipun tubuhnya jelas kelihatan keletihan.
Perkongsian kisahnya dibuat oleh seorang wanita di laman Threads sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen selepas tular di media sosial.
Beberapa keping gambar menunjukkan warga emas berkenaan tertidur sambil menunggu pelanggan ketika berniaga pelbagai juadah seperti laksa, mi rebus dan nasi lemak, menggunakan motosikalnya.
Wanita itu berkata hatinya amat tersentuh melihat pakcik tersebut setia menunggu pelanggan walaupun mengantuk sehingga tersengguk yang mana ketika itu jam menunjukkan pukul 4.30 pagi.

"Pukul 4.30 pagi pakcik ni masih berniaga sampai tersengguk dah. Yang mana duduk berdekatan Caltex flat Paya Nahu, Sungai Petani ni nanti bolehlah support pakcik ni. Luluh hati aku tengok," tulisnya.
Di ruangan komen, ramai netizen meluhkan rasa sebak malah beberapa individu mendakwa mengenali pakcik tersebut.
Seorang warganet yang mendakwa pakcik itu bapa saudaranya tampil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudi membantu..
"Pakcik ni ayah menakan saya, terima kasih mana yang support dia dan semoga korang semua dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan. By the way, kacang kuda dia sedap!" ujarnya.
Seorang lagi netizen memaklumkan pakcik berkenaan adakalanya berniaga di sekitar Maybank Taman Ria Jaya dan berharap orang ramai dapat terus membantu serta menyokong perniagaan kecilnya.
"Kadang pakcik ni berniaga dekat Maybank Taman Ria Jaya, Sungai Petani. Semoga kita dapat membantu pakcik ni," katanya.
MENARIK DIBACA: Pelanggan dakwa nampak lipas dekat mesin aiskrim, Ikea ambil tindakan segera
MENARIK DIBACA: Serik masuk premis tak mesra kanak-kanak, 'owner' suka ketenangan -"Ini kafe, bukan kedai mamak"
Dalam pada itu, terdapat juga netizen memuji sikap pakcik tersebut yang gigih berusaha mencari pendapatan halal berbanding meminta simpati.
"Patutnya orang muda-muda yang suka meminta-minta dalam Thread ini ikut dan contohi pakcik ini. Sanggup dia bersengkang mata semata-mata mencari wang dan rezeki yang halal.
"Bukan tempek (letak) QR scan lepas tu cakap anak tak makan, beras, susu dan pampers dah habis. Nak beli telur pun tak ada duit. Tapi kalau ada orang beri lebih, bolehlah makan sedap sikit.
"Pakcik ni baik, dulu sampai jam 12 malam dia 'ronda' pusing jual makanan lagi. Semoga dimurahkan rezeki pakcik.
"Dulu pakcik ni masuk lorong ke lorong. Kalau dulu dengar saja kacang kuda, laksa, mi rebus memang tunggu kat luar, keloi (panggil) bawa bekas siap-siap," antara komen netizen.
Tak kurang juga yang memuji pemilik stesen minyak kerana memberi ruang kepada pakcik berkenaan berniaga di kawasan tersebut.
"Owner stesen minyak ni mesti baik sebab bagi pakcik tu duduk niaga kat situ. Tak semua owner stesen minyak baik macam ni," tulisnya.