Kuala Lumpur diiktiraf 'Bandar Street Food' ke-2 terbaik global, tertinggal 1 mata di belakang Ho Chi Minh, Vietnam
KUALA LUMPUR melakar nama di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai bandar raya kedua terbaik di dunia untuk kategori makanan jalanan (street food).
Berdasarkan laporan global daripada platform panduan pelancongan terkenal, Time Out, ibu kota Malaysia yang memperoleh penilaian sebanyak 62 peratus hanya berada satu anak tangga di belakang Ho Chi Minh City, Vietnam dengan penilaian sebanyak 63 peratus.
Berikut adalah kedudukan teratas mengikut laporan tersebut:
- Ho Chi Minh City, Vietnam (63 peratus)
- Kuala Lumpur, Malaysia (62 peratus)
- Jakarta, Indonesia & Taipei, Taiwan (59 peratus)
- Mexico City, Mexico & Manila, Filipina (58 peratus)
- Hanoi, Vietnam (57 peratus)

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa keunikan rasa dan kepelbagaian budaya yang diterjemahkan melalui hidangan jalanan di Kuala Lumpur berjaya memikat hati para pengembara serta peminat makanan dari seluruh pelosok dunia.
Faktor utama yang meletakkan Kuala Lumpur di kedudukan perak global ini adalah keupayaannya menyajikan kepelbagaian gastronomi yang tiada tolok bandingnya.
Gabungan elemen kulinari tradisi Melayu, Cina, dan India dilihat telah melahirkan identiti makanan jalanan yang sangat unik, kaya dengan rempah-ratus dan penuh variasi rasa.

Bandar raya yang dianggap 'tidak pernah tidur' itu menawarkan pelbagai varisi makanan yang luas bermula dengan hidangan sarapan pagi yang mengenyangkan sehinggalah kepada snek malam yang menyelerakan.
Antara menu ikonik yang sering menjadi buruan dan mendapat pujian tertinggi termasuklah:
- Nasi Lemak: Hidangan kebangsaan dengan nasi bersantan wangi, sambal pedas manis, ikan bilis rangup dan ayam goreng berempah.
- Roti Canai: Roti yang ditebar rangup di luar dan lembut di dalam, digandingkan bersama kuah dhal atau kari pekat.
- Char kuetiau: Kuetiau yang digoreng panas dengan teknik 'wok hei', udang segar, kerang dan tauge.
- Laksa: Mi beras berkuah yang kaya dengan rasa masam, pedas dan kaya rasa ikan.
- Sate: Sate daging atau ayam yang diperap dengan rempah-ratus sebelum dibakar dan dinikmati dengan kuah kacang pekat pedas.
MENARIK DIBACA: [V] "Di mana ada langit, di situ ada orang Indonesia" - Gerai gado-gado 'wujud' atas bukit di Makkah
MENARIK DIBACA: Terhibur tengok wanita 'confident' guna bunga telang masak nasi kerabu, netizen tak lokek kongsi tip
Antara lokasi memburu makanan tumpuan (hotspot) di Kuala Lumpur yang sentiasa meriah tanpa mengira waktu adalah di Jalan Alor yang terletak di Bukit Bintang serta Kampung Baru.
Jalan Alor diangkat sebagai antara jalan makanan paling ikonik. Transformasi kawasan ini daripada sebuah lorong biasa kepada deretan gerai makanan laut, sate dan buah-buahan yang beroperasi sehingga awal pagi memberikan pengalaman makan malam yang luar biasa kepada pelancong asing.

Kampung Baru yang terletak di 'jantung kota' Kuala Lumpur pula menawarkan suasana warisan Melayu asli, di mana pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan tradisi tempatan dengan harga berpatutan.
Pengiktirafan antarabangsa ini bukan sahaja menaikkan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama, malah memberi pengiktirafan tinggi kepada komuniti penjaja tempatan yang mengekalkan warisan resipi turun-temurun.
Bagi pelancong global, Kuala Lumpur bukan sekadar kota batu bersandarkan Menara Berkembar Petronas, tetapi juga sebagai destinasi kulinari yang menawarkan kembara rasa antara yang terbaik di dunia.