[V] "Di mana ada langit, di situ ada orang Indonesia" - Gerai gado-gado 'wujud' atas bukit di Makkah
JIKA mengerjakan ibadah umrah atau haji di Makkah, makanan yang mudah ditemui pastinya sajian Arab dan hidangan Timur Tengah.
Bagaimanapun, seorang lelaki dikenali sebagai Fadhil Raihan bersyukur apabila terjumpa gerai menjual sajian khas Indonesia ketika berkunjung ke Jabal Khandamah, Makkah.
Lebih menarik perhatian, gerai berkenaan bukan sahaja menjual makanan Indonesia, malah peniaganya juga merupakan warga Indonesia yang berasal dari Madura.

“Ada gado-gado di Arab Saudi, asli Madura. Harganya hanya 10 riyal. Kalau anda rindu masakan Indonesia, boleh datang ke sini,” katanya dalam video yang dikongsi.
Fadhil berkongsi mengenai perkara ini menerusi hantaran di laman Instagram pada Rabu lalu.
Video itu memaparkan wanita itu yang dilihat sedang sibuk menyediakan kuah gado-gado di dalam lesung (cobek) buat pelanggan.
MENARIK DIBACA: Indonesia mohon Unesco iktiraf 'Budaya Tempe', netizen pelik nama Malaysia kena 'petik'
MENARIK DIBACA: Rupanya ayam gepuk tak popular di Indonesia! Cuma dimakan mahasiswa sebab murah
Bukan hanya gado-gado, kawasan tersebut turut dipenuhi peniaga asal Indonesia yang menawarkan pelbagai sajian popular dari negara berkenaan.
Antaranya mi ayam, bakso dan batagor yang sememangnya cukup dekat dengan selera masyarakat Indonesia.
Menurut Fadhil, kewujudan peniaga makanan Indonesia di kawasan berkenaan boleh menjadi pengubat rindu buat jemaah yang sedang berada jauh dari tanah air.
Perkongsian itu turut mencuri perhatian netizen yang rata-rata gembira melihat kewujudan gerai makanan Indonesia di kawasan bukit batu berkenaan.

Malah, ada yang berseloroh bahawa orang Indonesia seolah-olah boleh ditemui di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia.
"Lepas pulang kampung terus dipanggil Hajah, padahal di sana jual gado-gado.
"Di mana ada langit, di situ ada orang Indonesia.
"Orang Indonesia, kalau ada tanah sikit mesti dia buka kedai," antara komen netizen.
Untuk info, Jabal Khandamah terletak kira-kira 2 kilometer di sebelah timur Masjidil Haram.
Bukit berketinggian sekitar 587 meter ini menjadi tular dalam kalangan jemaah haji dan umrah kerana menawarkan panorama indah kota Makkah secara 360 darjah.
Setakat ini tiada restoran atau kedai makan berstruktur tetap di atas dek pemandangan Jabal Khandamah.
Bagaimanapun, bukit ini dipenuhi puluhan penjaja makanan jalanan terutama waktu pagi dan petang menjelang waktu matahari terbenam.
Bukit ini kini menjadi tular kerana dipenuhi komuniti peniaga termasuklah dari Indonesia.