Balik dari luar negara, terkejut semua makanan 'dimaniskan'... Deria rasa orang Malaysia jadi bualan
PERNAH tak anda makan sesuatu yang sepatutnya mempunyai rasa masin atau savoury tetapi sebaliknya terasa manis?
Bagi sesetengah orang, rasa manis mungkin menambahkan keenakan makanan, namun tidak semua orang mempunyai selera yang sama.
Di Threads seorang wanita dikenali Delima Radzwa berkongsi bagaimana dia berasa terkejut dengan perubahan deria rasanya selepas pulang dari luar negara.
Wanita itu berkata, hampir semua makanan dimakan selepas pulang ke Malaysia mempunyai rasa manis termasuk pasta di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur (KL).
Pengalaman itu membuatkan dia tertanya-tanya sama ada makanan di Malaysia terlalu cenderung rasa manis sehingga menghilangkan rasa asli atau deria rasanya sendiri sudah berubah selepas lama menetap di luar negara.
"Bila balik Malaysia saya rasa semua benda manis! Sambal nasi lemak, roti, lauk-pauk semuanya terasa manis.
"Air minuman tak payah cakaplah. Sampai satu tahap teringin nak makan sesuatu yang membolehkan saya rasa rasa asli bahan-bahannya tanpa ada rasa manis yang terlalu kuat sampai menenggelamkan rasa lain.
"Jadi pergilah makan kat sebuah restoran Itali di KL. Katanya restoran itu diuruskan orang Itali dan sajiannya autentik," katanya.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata dia sememangnya teruja ke restoran tersebut kerana terbayangkan pasta asli dan enak dengan rasa minyak zaitun, tomato dan herba.

"Sekali makan kat restoran tu eh manis juga! Saya pun tertanya-tanya adakah makanan itu sudah disesuaikan dengan selera orang Malaysia atau sebenarnya lidah saya sendiri yang dah berubah?" tulisnya.
Berdepan pengalaman dan situasi sebegini membuatkan dia terfikir bahawa cita rasa seseorang sebenarnya boleh berubah mengikut jenis makanan yang biasa diambil setiap hari.
Menurutnya, individu yang sudah terbiasa dengan makanan dan minuman manis mungkin menganggap tahap kemanisan tersebut sebagai sesuatu yang normal.
Sebaliknya, apabila seseorang mula mengurangkan pengambilan gula, makanan yang sebelum ini dirasakan biasa-biasa sahaja boleh tiba-tiba terasa terlalu manis.
"Kalau kita dah terbiasa dengan makanan dan minuman manis, tahap kemanisan tu lama-lama boleh jadi normal bagi kita sebaliknya bila dah lama kurangkan gula, makanan yang dulu rasa biasa-biasa saja boleh tiba-tiba terasa terlalu manis.
"Dan sejujurnya, saya tabik hormat kat semua yang tengah berusaha nak cut down sugar kat Malaysia. Bukan senang bila pilihan makanan dan minuman manis ada di mana-mana.
"Tapi berita baiknya deria rasa kita boleh berubah dan menyesuaikan diri. Jadi beri sedikit masa.
"Saya cuma nak rasa tomato dalam pasta, bukan rasa macam tengah makan dessert," luahnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen dengan ramai bersetuju bahawa penggunaan gula dan sos berlebihan sudah menjadi kebiasaan di negara ini.
"Sebab awak dah biasakan lidah dengan rasa manis. Malaysia, Indonesia ni kalau bab rasa dua benda je yang penting iaitu manis dan pedas.
"Sebab tu ada orang makan piza pun pergi cecah sos cili dan ada burger tepi jalan, sos dia macam mandi sos!
"Ya, hampir semua makanan luar dah diubah ikut cita rasa dan tekak rakyat tempatan. Dah tak autentik dah dan kalau tak nanti tak laku," komen beberapa netizen.
MENARIK DIBACA: Keliru antara Americano, latte, espresso? Ini maksud 10 istilah kopi antarabangsa dan versi Malaysia
MENARIK DIBACA:Dapur penuh stok bahan masak rupanya idaman mak-mak, ramai mengaku ada 'kedai runcit' di rumah
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sama selepas menetap di luar negara dan mula menyedari betapa banyaknya penggunaan gula dalam makanan di Malaysia.
"Saya pernah tinggal di luar negara selama tiga tahun dan dari situ baru sedar betapa gilanya kita dengan gula. Semua benda nak kena manis!
"Ya, betul... masalah saya setiap kali keluar makan. Orang kata sedap kita pun pergilah cuba. Sekali makan terus hilang selera sebab terlalu manis.
"Kalau di Kemaman ni memang boleh menangis weh. Beli makanan mahal-mahal sekali rasanya manis? Kuah untuk cecah ayam panggang pun manis. Manis apa benda weh!" komen warganet lagi.
