info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Dunia

Anak Malaysia diiktiraf 5 jurufoto makanan terbaik dunia

Lead Image

KEHEBATAN jurugambar Malaysia merakam keindahan hidangan sehingga mampu membangkitkan selera mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila tersenarai dalam Foodelia TOP 10 Food Photographers of 2026 (10 Jurugambar Makanan Terbaik 2026 Foodelia).

Victor Chin yang berpangkalan di Kuala Lumpur menduduki tempat kelima dalam senarai berprestij ini, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dalam bidang fotografi makanan yang menghimpunkan pengkarya dari pelbagai negara.

Pengiktirafan ini diumumkan menerusi laman web rasmi sebuah platform antarabangsa yang mengiktiraf hasil fotografi makanan melalui pertandingan dan pemilihan karya secara berkala, Foodelia.

Pencapaian terbaharu ini memperlihatkan konsistensi Victor menghasilkan karya yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan Foodelia menghimpunkan jurugambar makanan dari pelbagai negara.

Berdasarkan profil profesionalnya, Victor mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun dalam industri fotografi makanan dan mengendalikan Vezora Production.

Pendekatannya memberi tumpuan kepada keunikan setiap hidangan, termasuk warna, tekstur dan perincian menjadikan makanan kelihatan lebih menarik menerusi lensa kamera. 

Hasil karyanya juga pernah diterbitkan oleh restoran tersenarai dalam Michelin Selected.

Lebih membanggakan, Victor turut berada dalam kelompok 10 jurugambar makanan terbaik Foodelia pada 2025. 

Sementara itu, kedudukan pertama bagi 2026 menjadi milik Marcin Kazmieruk dari Poland yang turut mengekalkan pencapaian sebagai jurugambar makanan nombor satu Foodelia untuk dua tahun berturut-turut.

Berikut senarai jurugambar yang diiktiraf dalam Foodelia TOP 10 Food Photographers of 2026.

Marcin Kazmieruk dari Poland mengekalkan kedudukan nombor satu Foodelia untuk dua tahun berturut-turut.

Marcin Kazmieruk — Poland

Marcin Kazmieruk dari Jelenia Gora, Poland, menduduki tempat pertama selepas turut meraih kedudukan sama pada 2025. 

Marcin juga berada dalam kelompok 10 terbaik pada 2024.

Berpengalaman merakam gambar untuk restoran, hotel dan jenama makanan di Poland serta negara Eropah lain, hasil kerjanya menitikberatkan pencahayaan semula jadi, pergerakan terkawal dan konsep jelas bagi setiap gambar.

Antara pelanggan pernah bekerjasama dengannya termasuk Movenpick Resort & Spa Karpacz, Lake Hill Resort & Spa, Dziki Wodospad dan The Art of Fire di Belanda.

Menariknya, Marcin turut menekankan pendekatan fotografi bergantung pada pencahayaan sebenar dan kemahiran ketika penggambaran, tanpa menggunakan Photoshop atau kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambarnya.

Victoria Kondysenko — Ukraine

Tempat kedua menjadi milik Victoria Kondysenko dari Cherkasy, Ukraine, turut mencatat pencapaian cemerlang dalam pertandingan Foodelia sebelum ini.

Victoria dikenali menerusi hasil fotografi makanan diketengahkan dalam koleksi platform berkenaan. 

Berdasarkan rekod Foodelia bagi 2026, wanita ini mengumpulkan 224 mata hasil pemilihan karya sepanjang tahun.

Jasmin Barbir — Croatia

Jasmin Barbir dari Varazdin, Croatia, menduduki tempat ketiga dalam senarai tahun ini.

Dia turut mendapat pengiktirafan melalui koleksi fotografi makanan Foodelia, dengan hasil karyanya dipilih dalam pertandingan menjadi sebahagian daripada penilaian tahunan platform berkenaan.

Marko Ostojic — Serbia

Marko Ostojic dari Belgrade, Serbia, turut berada dalam kelompok lima terbaik bagi 2026.

Dia menghasilkan karya fotografi makanan yang dinilai menerusi pemilihan berkala Foodelia sebelum mata yang dikumpulkan menentukan kedudukan tahunan jurugambar.

Sylvia Schiff — Perancis

Sylvia Schiff dari Uzes, Perancis, melengkapkan senarai lima jurugambar teratas Foodelia tahun ini.

Pencapaiannya meletakkan dirinya sebaris dengan pengkarya antarabangsa lain berjaya mendapat pengiktirafan melalui karya fotografi makanan mereka.

Antara gambar dihasilkan Victor Chin.

Victor Chin — Malaysia

Victor Chin membuktikan jurugambar Malaysia mampu bersaing dengan pengkarya antarabangsa apabila turut tersenarai dalam kelompok lima terbaik dunia bagi 2026.

Berpengalaman dalam industri selama kira-kira sedekad, Victor memberi perhatian kepada perincian hidangan supaya warna, tekstur dan keistimewaan setiap sajian dapat ditonjolkan dengan lebih berkesan.

MENARIK DIBACA: Dapur penuh stok bahan masak rupanya idaman mak-mak, ramai mengaku ada 'kedai runcit' di rumah

MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!

David D’anetra — Colombia

David D’anetra dari Bogota, Colombia, turut mendapat tempat dalam senarai 10 jurugambar makanan terbaik tahun ini.

Penyertaannya mencerminkan kepelbagaian negara diwakili dalam senarai pengiktirafan Foodelia, sekali gus memperlihatkan persaingan dalam bidang fotografi makanan pada peringkat global.

Jakub Pilejczyk — Poland

Jakub Pilejczyk dari Olsztyn, Poland, turut tersenarai dalam kelompok 10 terbaik 2026.

Individu ini antara dua jurugambar dari Poland mendapat pengiktirafan tahun ini, bersama Marcin Kazmieruk dan Gosia Grula.

Mihails Pavlenko — Latvia

Mihails Pavlenko dari Riga, Latvia, turut berada dalam kelompok 10 terbaik Foodelia bagi 2026.

Kehadirannya dalam senarai berkenaan mengukuhkan lagi kepelbagaian pengkarya antarabangsa yang mendapat perhatian menerusi pertandingan fotografi makanan tersebut.

Hasil karya jurugambar tersenarai menunjukkan fotografi makanan membawa penceritaan tersendiri.

Gosia Grula — Poland

Gosia Grula dari Krakow, Poland, melengkapkan senarai 10 jurugambar makanan terbaik Foodelia bagi 2026.

Dirinya menjadi antara tiga jurugambar dari Poland mendapat pengiktirafan tahun ini, bersama Marcin Kazmieruk dan Jakub Pilejczyk.

Pengiktirafan Foodelia ini memperlihatkan fotografi makanan lebih sekadar merakam hidangan, malah memerlukan kreativiti, ketelitian dan kemahiran untuk menyerlahkan daya tarikan sesuatu sajian.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

Balik dari luar negara, terkejut semua makanan 'dimaniskan'... Deria rasa orang Malaysia jadi bualan

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Dunia

8 fakta garpu... Pernah 'ditolak' sebagai alat makan, dianggap simbol iblis

Terhangat