Terkejut wajah ditegur berseri lepas 3-4 kali minum jus saderi, epal dan lobak merah
WAJAH kelihatan segar dan berseri menjadi idaman ramai wanita, termasuk mereka yang lebih selesa tampil tanpa solekan tebal.
Selain penjagaan kulit dari luar, pemakanan seimbang dan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran juga penting untuk menyokong kesihatan keseluruhan kulit.
Seorang wanita berkongsi pengalamannya mencuba jus campuran saderi, epal hijau dan lobak merah selepas terbaca petua tersebut di Threads.

Menurutnya, dia tertarik untuk mencuba minuman ini selepas melihat perkongsian individu lain yang mendakwa jus berkenaan membantu wajah kelihatan lebih berseri walaupun tanpa solekan.
Lebih menarik, wanita itu berkata ibunya mula menyedari perubahan pada wajahnya selepas dia mencuba minuman tersebut sebanyak tiga hingga empat kali.
"Baru minum tiga hingga empat kali je, lepas tu mak saya cakap nampak perubahan muka saya. Tak kusam sangat dah. Alhamdulillah," kongsinya di Threads.
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
MENARIK DIBACA:Rahsia sandwic telur kedai serbaneka sedap, tahan lama! Buat sendiri puas makan
Bukan sahaja wajah kelihatan lebih segar, wanita ini turut gemarkan rasa jus berkenaan sehingga menjadikannya antara minuman kegemaran baharu.
Dia kemudian berkongsi resipi ringkas minuman itu menggunakan tiga bahan utama, dengan sukatan dianggarkan sendiri mengikut cita rasa.
"Bahan-bahan adalah satu batang saderi, suku lobak merah dan satu biji epal bersaiz besar.

"Kalau saiz epal tu kecil, ambil satu setengah biji epal hijau untuk rasa lebih 'kick' masam manis.
"Saya letak dalam peti ais. Minum sejuk. Pagi minum, tengahari sebelum lunch minum (untuk elak menambah nasi), malam pun minum (bila perut merengek nak makan merapu jadi terselamat)," kongsinya lagi.
Saderi, epal hijau dan lobak merah sememangnya membekalkan nutrien bermanfaat, tetapi perubahan pada kulit turut dipengaruhi faktor lain seperti tidur, hidrasi, pemakanan keseluruhan dan penjagaan kulit.