Makanan baik dan perlu dielak pesakit buah pinggang kronik saranan pakar
PESAKIT buah pinggang kronik (CKD) tahap 3b dan 4 perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan dan minuman bagi mengelakkan keadaan kesihatan menjadi semakin serius.
Pada tahap ini, penjagaan diet adalah rawatan utama untuk melambatkan kerosakan dan mengelakkan dialisis.
Menurut perkongsian pakar kulit Dr Gaushinee Vallimanalan di Threads, pesakit perlu mendapatkan nasihat pakar dietetik serta berbincang dengan doktor sebelum mencuba suplemen, minuman protein atau produk kesihatan baharu.
Kongsinya lagi, pesakit perlu merujuk doktor terlebih dahulu setiap kali ingin mencuba produk baharu kerana kandungan sesetengah produk mungkin tidak sesuai dengan keadaan buah pinggang.
Pesakit juga perlu berwaspada dengan dakwaan penjual yang menjanjikan pelbagai manfaat kesihatan tanpa bukti saintifik yang kukuh.

"Banyak seller akan jual pseudoscience, false claims dengan confident. Tapi ingat dia tak akan bertanggungjawab kalau you kena start dialisis.
"Nak buat tapak alone di hospital private RM2,000 lebih, dialisis pun kena bayar tiga kali seminggu. So fikir fikir kan," kongisnya.
Berikut adalah saranan pakar ini berkenaan pengambilan diet buat pesakit kronik:
1. Kawal pengambilan protein, utamakan sumber berkualiti
Buah pinggang yang mengalami kerosakan mungkin sukar menyingkirkan bahan buangan daripada metabolisme protein dengan berkesan.
Protein masih diperlukan oleh tubuh dan tidak boleh dihentikan sesuka hati.
Jumlah pengambilannya perlu disesuaikan mengikut keadaan pesakit, berat badan dan nasihat pakar dietetik.
Antara sumber protein boleh dipertimbangkan ialah ikan, putih telur, ayam dan tauhu dengan saiz hidangan bersesuaian.
Pesakit juga disarankan mengehadkan pengambilan daging merah dan daging berproses seperti sosej, nuget serta bebola daging.
Minuman protein dan serbuk protein juga tidak sepatutnya diambil tanpa nasihat doktor atau pakar dietetik.

2. Kurangkan garam, awasi pengambilan sodium
Pengambilan garam berlebihan boleh menyebabkan tubuh menahan air, sekali gus meningkatkan risiko bengkak dan tekanan darah tinggi.
Keadaan ini boleh menambahkan beban kepada buah pinggang yang sudah mengalami kerosakan.
Pesakit perlu mengehadkan makanan tinggi garam seperti ikan masin, telur masin, ikan bilis, belacan, cencaluk, budu dan mi segera.
Penggunaan kicap, sos tiram, sos cili serta perasa komersial lain juga perlu dikawal.
Sebagai alternatif, gunakan bahan seperti limau, lemon, serai, halia dan bawang untuk menambah rasa dalam masakan.
Pesakit turut diingatkan supaya tidak menggunakan pengganti garam dijual di pasaran secara sewenang-wenangnya kerana sesetengah produk mengandungi kalium tinggi.
MENARIK DIBACA: Dapur penuh stok bahan masak rupanya idaman mak-mak, ramai mengaku ada 'kedai runcit' di rumah
MENARIK DIBACA:Beli barang harian di foodpanda diskaun sehingga 50 peratus! Mudah dan menjimatkan
3. Pantau pengambilan kalium demi kesihatan jantung
Bagi pesakit CKD tahap 3b dan 4, buah pinggang mungkin tidak dapat menyingkirkan kalium (potasium) berlebihan dengan baik.
Jika paras kalium dalam darah meningkat terlalu tinggi, keadaan ini boleh mengganggu rentak jantung dan mengancam nyawa.
Antara makanan mengandungi kalium tinggi termasuk bayam, kailan, peria, kacang panjang, tomato, ubi keledek dan brokoli.
Sayuran pilihan selamat adalah taugeh, kubis, timun.
Buah-buahan seperti pisang, durian, nangka, oren serta air kelapa juga perlu diberi perhatian.
Buah pilihan selamat adalah epal atau betik yang diambil satu potong kecil sahaja.
Pesakit tidak semestinya perlu mengelakkan semua makanan tersebut sebaliknya mengehadkan kalium bergantung pada keputusan ujian darah dan penilaian doktor atau pakar dietetik.
Kaedah penyediaan makanan juga boleh membantu mengurangkan kandungan kalium.
Antaranya, memotong sayur kepada bahagian kecil, merebusnya dan membuang air rebusan sebelum dimakan.

4. Kawal fosforus untuk menjaga tulang dan kulit
Paras fosforus terlalu tinggi dalam darah boleh mengganggu keseimbangan mineral tubuh, menjejaskan kesihatan tulang dan menyebabkan kegatalan kulit.
Pesakit mungkin perlu mengehadkan makanan tertentu tinggi fosforus, termasuk minuman bermalt dan coklat seperti Milo, Horlicks serta Ovaltine.
Produk tenusu seperti susu, keju dan yogurt, organ dalaman haiwan, sup tulang, kekacang serta minuman berkarbonat jenis kola juga perlu dinilai berdasarkan kandungan fosforus dan keadaan kesihatan pesakit.
Bukan semua makanan dalam kumpulan ini perlu dielakkan sepenuhnya.
Pakar dietetik boleh membantu menentukan jumlah sesuai berdasarkan keputusan ujian darah dan keperluan pemakanan individu.
5. Jangan sewenang-wenangnya ambil suplemen dan produk kesihatan
Selain menjaga pemakanan harian, pesakit buah pinggang juga perlu berhati-hati sebelum mencuba suplemen, susu formula khas, minuman protein atau kopi cendawan yang dipasarkan sebagai produk kesihatan.
Pesakit perlu merujuk doktor terlebih dahulu setiap kali ingin mencuba produk baharu kerana kandungan sesetengah produk mungkin tidak sesuai dengan keadaan buah pinggang mereka.
Pesakit juga perlu berwaspada dengan dakwaan penjual menjanjikan pelbagai manfaat kesihatan tanpa bukti saintifik kukuh.
Sesuatu produk yang dipromosikan sebagai semula jadi atau selamat tidak semestinya sesuai untuk semua orang.
Malah, buah-buahan kering juga perlu diberi perhatian kerana kandungan kalium dan gulanya boleh menjadi tinggi dalam hidangan kecil.
