Kerepek rangup, goreng guna wap raih anugerah emas di pameran inovasi makanan dunia
SIAPA sangka kerepek kentang boleh dihasilkan tanpa setitik minyak tetapi masih rangup seperti biasa?
Inovasi makanan baharu ini mencuri perhatian dunia seiring dengan peningkatan permintaan terhadap makanan yang sihat, mudah dan praktikal.
Menurut laporan media antarabangsa, produk berkenaan diperkenalkan pada pameran makanan antarabangsa SIAL Paris, Perancis pada Oktober lalu.
Dua lagi inovasi diperkenalkan ialah snek buah bersalut yogurt untuk kesihatan usus dan matcha latte dalam bentuk kapsul.
Ketiga-tiga produk itu dipilih sebagai inovasi terbaik daripada 2,800 produk yang menyertai pameran berkenaan, melibatkan 41 negara.
Kerepek kentang tanpa minyak
Antara produk paling menarik perhatian ialah kerepek kentang yang dihasilkan tanpa menggunakan minyak masak.
Teknologi itu dibangunkan syarikat teknologi makanan dari Switzerland, Zeen Tech yang memenangi anugerah emas pada pameran berkenaan.
Wakil syarikat, Yosef Chender memperkenalkan dua jenis kerepek kentang iaitu kerepek versi digoreng menggunakan minyak dan menggunakan teknologi wap panas.

Menariknya, kedua-dua produk itu dikatakan mempunyai rasa dan tekstur rangup yang hampir sama.
Teknologi berkenaan menggunakan wap panas bersuhu melebihi 100 darjah celsius untuk mengembangkan kentang dan kandungan air dikeluarkan dengan cepat menggunakan sistem vakum bagi menghasilkan kerepek rangup.
Kaedah ini membolehkan kerepek dihasilkan tanpa setitik minyak sekali gus membantu mengurangkan kandungan lemak dan kalori.
Inovasi ini dibangunkan bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahu menikmati kerepek kentang rangup tanpa perlu bimbang tentang pengambilan kalori tinggi.
MENARIK DIBACA: Ramai kongsi cara diet ekstrem, berjaya turun 5kg dalam 14 hari... Ambil tahu risikonya!
MENARIK DIBACA:Buang kulat pada roti, makan bahagian masih elok... Selamat atau tidak?
Snek yogurt kesihatan usus
Syarikat Patis Food Group dari Türkiye pula memperkenalkan produk dikenali sebagai Three Biotics Yogurt Bites.
Produk ini terdiri daripada potongan kecil buah-buahan disalut bersama yogurt dan menggabungkan tiga komponen penting untuk kesihatan usus iaitu prebiotik, probiotik dan postbiotik.
Penghasilan prebiotik membantu menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus manakala probiotik merupakan mikroorganisma hidup yang memberi manfaat kepada sistem pencernaan.
Postbiotik pula ialah bahan yang terhasil daripada aktiviti mikroorganisma baik.
Keistimewaan snek ini ia boleh disimpan pada suhu bilik tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Pengeluar menggunakan teknologi pengeringan beku dan salutan khas bagi membantu mengekalkan kualiti produk tersebut.

Matcha latte kapsul
Syarikat Green dari Perancis turut memperkenalkan inovasi minuman matcha latte dalam bentuk kapsul yang direka khusus untuk digunakan bersama mesin nespresso.
Jika sebelum ini penyediaan matcha latte memerlukan serbuk matcha, bamboo matcha whisk dan susu panas, produk ini pula memudahkan proses berkenaan dengan menghimpunkan penyediaannya dalam satu kapsul.
Pengguna hanya perlu menggunakan kapsul tersebut untuk menyediakan minuman matcha latte dengan lebih cepat dan mudah.
Inovasi ini membantu menjimatkan masa serta sesuai dengan gaya hidup moden.
Budaya makan tiga kali sehari semakin berubah
Perkembangan produk snek sihat ini berkait rapat dengan perubahan cara masyarakat menikmati makanan.
Jika dahulu kebanyakan orang mengamalkan rutin makan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam, kini semakin ramai memilih hidangan kecil atau snek sebagai pengganti makanan berat.
Trend ini turut dikenali sebagai reduced meal society iaitu masyarakat yang mengurangkan pengambilan hidangan besar dan lebih memilih makanan dalam kuantiti kecil.
Menurut data firma penyelidikan AI, Open Survey menerusi penyelidikan Food Diary, purata jumlah hidangan tahunan bagi setiap individu di Korea Selatan sehingga Jun lalu menurun sebanyak 24.8 kali berbanding purata dua tahun sebelumnya.
Gaya hidup moden ubah corak pemakanan
Perubahan corak pemakanan ini turut dipengaruhi oleh gaya hidup masyarakat yang semakin sibuk.
Ketua Pengarah SIAL Paris, Jean-Gabriel Mollar berkata budaya bekerja dari rumah, waktu kerja lebih fleksibel dan peningkatan jumlah isi rumah seorang individu menyebabkan rutin makan tradisional semakin berubah.
Selain itu, penggunaan ubat penurunan berat badan daripada kumpulan GLP-1 seperti Mounjaro yang membantu mengurangkan selera makan turut memberi kesan kepada corak pemakanan masyarakat.
Perubahan ini menunjukkan industri makanan dunia perlu menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna yang semakin mengutamakan kesihatan, kemudahan dan kawalan pengambilan kalori.
Justeru, snek bukan lagi sekadar makanan ringan untuk mengalas perut sebaliknya semakin berkembang menjadi pilihan makanan yang menawarkan khasiat, protein dan manfaat kesihatan.