Bukan telur atau tahi! Ramai buang bahagian kuning ketam, rupanya boleh makan
KETAM antara makanan laut yang cukup digemari ramai lebih-lebih lagi apabila dimasak sambal, masak lemak atau sekadar direbus untuk dinikmati bersama nasi.
Bagi yang biasa menyiang ketam sendiri pasti pernah tertanya-tanya tentang bahagian berwarna kuning yang terdapat di dalam cengkerang haiwan laut itu.
Ada yang membuangnya kerana menyangka ia kotoran atau tahi ketam, malah ada juga membersihkan ketam sehingga bahagian kuning tersebut langsung tidak kelihatan.
Seorang wanita di Threads bertanyakan cara sebenar untuk membersihkan ketam selepas berasa musykil melihat bahagian berwarna kuning tersebut.
"Macam mana nak buang yang warna kuning-kuning tu ye? Kita geram tengok. Yang tu tahi ketam kan? Ke bukan?" tulisnya.

Di ruangan komen, netizen tampil menjelaskan bahawa bahagian berwarna kuning tersebut bukanlah tahi ketam sebaliknya lemak atau turut dikenali sebagai mustard ketam.
Menurut beberapa individu, gambar ketam yang dikongsikan wanita berkenaan merupakan ketam jantan.
Justeru, bahagian kuning tersebut bukanlah telurnya.
MENARIK DIBACA: Nelayan kongsi punca ikan pari bau hancing, netizen beri petua elak pembaziran
MENARIK DIBACA: Keropok lekor 'homemade' guna lebihan nasi, lebih 'fresh' dari beli di kedai
"Yang kuning tu bukan telur ketam sebab ni ketam jantan. Yang kuning tu mustard ketam atau nak lebih senang faham lemak ketam. Okay saja makan tak ada masalah. Cuma memang bukan telur ketam.
"Itu bukan telur ketam sebab tu ketam jantan dan ketam betina macam kat bawah ni (rujuk gambar). Warna coklat sikit warnanya, ni baru telur ketam.

"Cara nak senang cuci kena potong dua ketam lalu bawah air paip yang perlahan sambil tolak-tolak sikit dengan jari. Nak senang beli berus gigi khas untuk cuci ikan, seafood. Saya dulu supply barang basah siap siang cuci, memang guna berus gigi nak cuci bersih ikan dan seafood tapi jangan berus kuat-kuat nanti habis tercabut isi ketam," antara komen warganet.
Dalam pada itu, ada netizen yang mengakui sangat menggemari bahagian kuning pada ketam tersebut.
"Kesukaan saya yang kuning tu sis. Saya membesar sebagai anak nelayan. Kalau terlalu banyak, arwah ayah dapat. Arwah mak rebus je atau masak lemak. Kalau buka banyak lemak kuning tepuk kat nasi, gaul sekali nikmatnya.
"Rindu semua tu. Sekarang nak beli pun RM45 sekilo kalau saiz besar. Saiz kecil tak puas makan," katanya.
Menurut netizen lain pula lemak ketam boleh dimakan dan bahagian berwarna putih pada cengkerang pula dikatakan menandakan ketam tersebut masih segar.

"Lemak ketam tu boleh makan. Jika ada putih di bahagian cengkerang, itu maksudnya ketam segar. Telur ketam warna oren dalam ketam betina.
"Kotoran ketam warna hitam halus macam kotoran udang. Bila buka cengkerang kadang ada, kadang tak ada pun. Lepas ni jangan buang lemak tu sedap.
"Fasal apa masak ketam buang kulit? Dalam kulit tu banyak lemak lagi. Pun buat macam tu air-air ketam banyak terbuang," komen warganet lagi.
Dalam pada itu, beberapa warga maya lain turut mengakui selama ini mereka juga menyangka bahagian kuning tersebut sebagai tahi ketam.
"Ala, saya ingatkan tahi ketam. Mula-mula kahwin dulu sampai gaduh pendapat dengan suami sebab saya cakap ni tahi ketam, dia cakap bukan. Semua saya bersihkan sampai tak ada langsung kuning-kuning tu. Hari ini baru tahu telur ketam rupanya.
"Mak mentua suruh masak ketam. Saya tanya dia cara dia siang ketam macam mana. Bila dah tahu rupanya kuning tu bukan tahi, dulu bebel-bebel cakap ketam mahal tapi kena buang itu ini sampai kering isi ketam tu aku bersihkan," antara komen netizen.