Bukan hanya ikan haruan, cendawan pilihan bantu sembuh luka selepas pembedahan
INDIVIDU selepas pembedahan memerlukan sokongan nutrisi yang tepat dan seimbang supaya tubuh dapat kembali berfungsi seperti sedia kala.
Selain ubat-ubatan, pemilihan makanan memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan tanpa sebarang komplikasi.
Biasanya ramai menggalakkan makan sup ikan haruan bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka pembedahan.
Sebenarnya terdapat beberapa makanan lain yang membantu proses penyembuhan dan meningkatkan daya tahan tubuh bagi menyokong regenerasi tisu.
Berikut lima makanan dan buah-buahan yang disyorkan dimakan selepas pembedahan:

1. Halia mengurangkan rasa loya
Rasa hangat halia membantu tubuh menyesuaikan diri dengan lebih mudah, terutamanya apabila digabungkan dengan makanan sejuk.
Kajian menunjukkan halia mengandungi sebatian antibakteria yang meningkatkan daya tahan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan.
Halia boleh dinikmati sebagai teh (diseduh sedikit demi sedikit) dan berkesan untuk sistem penghadaman, menjadikan gejala loya berkurangan.

2. Avokado untuk pesakit pembedahan jantung atau strok
Avokado merupakan sumber lemak tak tepu tunggal yang baik untuk kesihatan jantung.
Bagi pesakit selepas pembedahan jantung atau pemulihan pasca-strok, avokado menyokong daya tahan tubuh dan membantu mengawal keradangan.
Lemak sihat di dalamnya juga menyokong pemulihan tisu tubuh malah, mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular berulang.

3. Kunyit membantu melegakan sakit selepas pembedahan
Kunyit terkenal sebagai rempah anti-radang yang membantu mengurangkan kesakitan selepas kesan anestesia hilang.
Sebatian aktif kurkumin mampu meredakan keradangan, menyokong detoksifikasi tubuh, dan mempercepatkan penyembuhan luka.
MENARIK DIBACA: Awas kerap ambil makanan segera, boleh cetus masalah kemurungan
MENARIK DIBACA: Kerap sembelit dan perut kembung? Boleh cuba air rebusan kulit nanas
Pengambilan kunyit dalam bentuk segar, serbuk, atau dicampur madu berkesan sebagai penyokong pemulihan semula jadi bagi pesakit dan wanita selepas bersalin.

4. Epal membantu pemulihan selepas pembedahan jantung
Epal kaya dengan serat yang membantu menurunkan kolesterol LDL, manakala polifenol bertindak sebagai antioksidan mengurangkan keradangan.
Bagi pesakit selepas pembedahan jantung, epal penting kerana ia tidak mengandungi lemak tepu, natrium, atau kolesterol.
Kandungan air dalam epal juga membantu mengekalkan hidrasi tubuh.
Gabungan serat dan antioksidan menjadikannya pilihan selamat untuk menyokong penyembuhan dan mengurangkan ketidakselesaan semasa tempoh pemulihan.

5. Cendawan membantu penyembuhan luka
Sebatian aktif seperti polisakarida dalam cendawan membantu mempercepatkan penyembuhan luka dengan merangsang sel imun dan mengurangkan keradangan.
Selain menyokong pemulihan luka, cendawan baik untuk kesihatan usus.
Polisakarida bertindak sebagai prebiotik, merangsang pertumbuhan bakteria baik dan mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus.